KOTA BHARU – Along kini semakin agresif dalam mengutip hutang apabila menularkan gambar-gambar peminjam yang gagal membayar pinjaman di media sosial untuk memalukan mereka.
Lebih mengaibkan, along turut menularkan wajah isteri serta anak-anak peminjam yang tidak bersalah menerusi WhatsApp.
Seorang peniaga gerai makanan yang hanya dikenali sebagai Ghazali, 36, berkata, kehidupannya berubah apabila ahli keluarga dan rakan-rakan mula menjauhkan diri selepas mengetahui dia meminjam duit along sebanyak RM3,000 tahun lalu.
Katanya, selepas gagal membayar hutang yang sudah mencecah RM10,000 termasuk faedah, along bertindak menularkan wajahnya, dua anak selain isteri kepada kenalannya menerusi WhatsApp.
“Rakan-rakan menjauhkan diri dengan saya, malah ada yang secara terang mendakwa wang pinjaman along untuk perniagaan itu haram digunakan,” katanya kepada Kosmo!.
Ghazali memberitahu, dia mula meminjam wang sebanyak RM3,000 daripada along pertengahan tahun lalu membangunkan perniagaan gerai makan secara kecil-kecilan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Selepas empat bulan meminjam, saya dapat membayar hutang. Selepas itu, saya tidak mampu sehingga jumlahnya meningkat kepada RM10,000.
“Along ada memberi ugutan menerusi mesej di WhatsApp, namun saya belum dapat menjelaskan hutang kerana perniagaan ketika itu merosot akibat kekurangan pelanggan.
“Disebabkan itu, along menghantar gambar saya bersama keluarga menerusi WhatsApp kepada kenalan yang ada dalam telefon bimbit saya,” ujarnya.
Katanya, selain memberikan gambar peribadi dan MyKad, along juga mengimbas kod QR pada WhatsApp miliknya untuk memudahkan sindiket itu mengakses perbualan.
“Saya kini tertekan apabila ramai kenalan dan ahli keluarga tahu saya berhutang along.
“Tindakan along itu memalukan saya. Masalah kewangan saya dijaja dan ditularkan mereka dengan kata-kata kesat,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Azilah, 45, berkata, dia terkejut apabila wajah dan MyKad miliknya tular di Facebook kira-kira sebulan lalu.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, gambar itu ditularkan oleh seorang ejen along selepas dia gagal melunaskan pinjaman sebanyak RM15,000 termasuk faedah.
Katanya, dia meminjam daripada along sebanyak RM6,000 pada awal tahun ini untuk digunakan sebagai simpanan dan kehidupan seharian selepas bertukar di tempat kerja baharu.
“Sejujurnya, saya tidak mampu untuk membayar hutang along RM200 sebulan kerana banyak lagi komitmen lain perlu diutamakan. Saya pula ibu tunggal dan perlu menanggung semua anak-anak selepas bekas suami hilang tanpa khabar berita.
“Selepas along menularkan wajah saya di Facebook, saya amat malu. Ejen along itu berkongsi kepada banyak kumpulan di Facebook.
“Daripada semua orang tidak tahu saya meminjam along, habis semua rakan-rakan tahu. Mana saya mahu sorok muka ini. Saya sangat tertekan sehingga pernah terdetik untuk membunuh diri. Sudahlah tidak bayar hutang along, muka pula tular di media sosial,” ujarnya.
Azilah berpendapat, taktik meminta hutang yang digunakan oleh sindiket along ketika ini lebih kejam daripada ugutan.
Katanya, sebelum ini, along ada datang mengganggunya di rumah dan tempat kerja, namun dia tidak terkesan dengan cara itu kerana mereka hanya menghamburkan kata-kata kesat.
“Tetapi apabila gambar saya tular, saya amat malu dan sangat tertekan,” ujarnya.














