fbpx

Athirah Farhana ‘enjoy’ berniaga sambil belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATHIRAH FARHANA aktif menjual produk keluaran Amway.

MESKIPUN masih bergelar seorang mahasiswa, Nur Athirah Farhana Ahmad Nasir, 22, tidak melepaskan peluang untuk terlibat dalam bidang perniagaan.

Baginya, zaman kini telah berubah dan sesiapa sahaja boleh terlibat dalam bidang perniagaan termasuklah mereka yang masih belajar.

“Saya minat dalam bidang perniagaan ini sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketika itu, saya telah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menjana pendapatan tambahan.

“Kini, saya mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Meskipun sibuk sebagai seorang pelajar, namun saya masih mencari masa untuk terlibat dalam bidang perniagaan,” katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Tambahnya, dia kini mengambil peluang untuk terlibat dalam bidang perniagaan dengan menjual produk-produk keluaran Amway.

ATHIRAH FARHANA (depan, kanan) aktif dalam program berpersatuan di UUM.

Dalam pada itu, gadis yang mesra disapa Athirah Farhana itu menjelaskan, dia tidak pernah rasa terbeban untuk belajar dan berniaga dalam masa sama.

Sebaliknya, dia rasa ‘enjoy’ melakukan hal tersebut.

“Saya dapat rasakan satu kepuasan apabila ada orang membeli barang-barang yang dijual.

“Pada masa sama, ia memberi pendapatan tambahan kepada saya yang masih bergelar seorang pelajar. Saya juga dapat belajar tentang selok-belok perniagaan,” jelasnya.

Athirah Farhana juga menitipkan pesan buat mahasiswa yang mempunyai keinginan terlibat dalam bidang perniagaan supaya meneruskan niat itu, namun tetap mengutamakan pengajian.

Katanya, buang rasa takut serta negatif yang bersarang dalam diri dan cuba melakukannya.

“Kini, untuk terlibat dalam bidang perniagaan semakin mudah. Kita boleh mulakan dengan modal yang kecil dahulu sebagai percubaan.

“Jika kita tidak mempunyai modal, kita boleh terlibat dalam bidang perniagaan melalui sistem ‘dropship’ terlebih dahulu.

“Kini, urusan pemasaran dan jualan boleh dilakukan secara online dan kita tidak perlu bersemuka dengan pelanggan.

“Bagaimanapun, kita perlu pastikan pelajaran tidak terjejas apabila terlibat dalam bidang perniagaan,” terangnya.

ATHIRAH FARHANA

Mengulas tentang pengajiannya, Athirah Farhana berkata, dia melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan pembangunan.

Menurutnya, bidang tersebut memerlukannya belajar dan berfikir tentang cara untuk membangunkan dan memajukan sesuatu kawasan.

“Dalam bidang ini, saya juga belajar tentang negara membangun, negara maju dan lain-lain lagi serta apa diperlukan oleh sesebuah negara untuk pembangunan.

“Saya juga belajar tentang teori dan falsafah,” jelasnya anak sulung daripada tiga beradik itu.

Athirah Farhana juga mengakui bahawa pengurusan pembangunan bukanlah bidang pilihannya ketika memilih menyambungkan pengajian di UUM.

Setelah mendalami jurusan tersebut, dia mula suka dengan bidang berkenaan. Jika diberi peluang, dia ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Athirah Farhana aktif dengan aktiviti persatuan di UUM.

Dia terlibat dengan Persatuan Pengurusan Pembangunan serta menyertai beberapa program di bawah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Melalui aktiviti berpersatuan ini, saya berpeluang untuk belajar banyak perkara serta dapat mengasah kemahiran insaniah, pengurusan majlis dan lain-lain
lagi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI