fbpx

Dua lelaki didenda RM3,000 bantu along pasang iklan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.- Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ‘along’ memasang iklan berkaitan pinjaman berkenaan, Isnin lalu.

Tertuduh, Hor Kar Fei, 40, dan Tang Lih Voon, 41, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Dalam penghakimannya, Siti Nora turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didapati membantu dalam aktiviti menampal poster pemberi pinjaman wang tanpa lesen dan memiliki satu kotak risalah pemberi pinjaman wang tertera pinjaman berlesen dengan nombor telefon 014-9400188.

Perbuatan itu dilakukan mereka di tepi persiaran Tasek Timur 1, Taman Ria Bercham di Ipoh dalam daerah Kinta pada pukul 10.30 pagi, 4 September 2023.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta (1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Nabilah Norzam manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syuhada Mohd. Yusof.

Terdahulu, dalam rayuannya, Nurul Syuhada memohon hukuman denda minimum dikenakan ke atas anak guamnya ekoran kedua-dua mereka yang merupakan sub kontraktor itu mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI