PETALING JAYA – Seekor ular tedung selar atau king cobra sepanjang hampir tiga meter mencuri perhatian ramai apabila ditemui bersembunyi di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dalam kejadian di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Kejadian itu dikongsikan anggota bomba, Umar Affan menerusi satu video di aplikasi TikTok yang memaparkan operasi menangkap reptilia berbisa berkenaan.
Menerusi perkongsian tersebut, beberapa anggota bomba dilihat berhati-hati mengeluarkan ular berkenaan yang dipercayai memasuki ruang enjin kenderaan mewah itu.
“King cobra pilih kereta mewah kali ini,” tulisnya ringkas pada kapsyen video yang dimuat naik, semalam.
Video berdurasi 1.26 minit itu kemudian mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata berseloroh dengan ‘pilihan’ tempat persembunyian ular terbabit.
“Tuan, besar tu yang naik kereta besar,” seloroh @Wifesyafiq.
Turut meninggalkan komen, pengguna @muhdshaz menyifatkan ular tersebut mempunyai ‘selera’ seperti VIP.
“Sepatutnya pilih 4×4 (trak pikap), mungkin kelas ‘Datuk’ kot.”
“Ini ular kategori T20,” kata @ChikMazli.
Sementara itu, pengguna TikTok, @Atan menzahirkan penghargaan kepada anggota penyelamat yang berjaya mengeluarkan ular terbabit.
“Terbaik abang bomba,” katanya. – KOSMO! ONLINE














