fbpx

Hari Kebangsaan: Kehadiran 100,000 pengunjung terjemah semangat patriotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya hari ini bagi menyaksikan acara sambutan Hari Kebangsaan 2023 sekali gus membuktikan semangat patriotik yang kekal subur dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, semangat luar biasa itu diterjemahkan rakyat pelbagai usia, bangsa, agama dan latar belakang demi meraikan kemerdekaan negara.

Beliau pada masa sama menyeru seluruh rakyat mengekalkan momentum semangat itu untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu patriotik bagi meraikan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Ada yang datang seawal lepas maghrib semalam, dari jauh dan dekat ada yang datang dari Perak dan Kedah menambahkan seri acara kita pada hari ini.

“Ini merupakan sambutan Hari Kebangsaan pertama kami bersama pasukan petugas bertungkus-lumus sejak bulan Februari, sememangnya tidak boleh dijayakan tanpa sokongan dan usaha mereka

“Kepada semua rakyat, sama-sama kita raikan Hari Kebangsaan ini, betapa pentingnya hidup rukun, aman damai bersatu padu dalam sebuah negara tercinta Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas sambutan Hari Kebangsaan 2023, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat hadir pada sambutan hari bersejarah negara.

Sambutan kali ini dimeriahkan dengan persembahan Tim Akrobatik Army Red Warrior Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan penglibatan 42 orang peserta dan penampilan khas 66 buah motosikal Royal Enfield.

Turut dipamerkan ialah aksi terjunan tepat VAT69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), persembahan 400 pergendangan, 36 kumpulan pancaragam dan persembahan khas Hari Kebangsaan 2023 bertajuk ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ oleh 1,500 orang peserta.

Acara perbarisan dan perarakan yang menjadi tarikan utama sambutan dijayakan oleh 17,262 orang peserta melibatkan 67 kontinjen yang dibahagikan kepada sembilan komponen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI