fbpx

Andalusia, KUISCELL umum tarikh program Kibar Madinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PU Hafiz (tengah), Ida Riswana Idris (kanan) bersama Ahmad Fuad (kiri) ketika majlis pelancaran pakej Kibar Madinah 4.0 hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd (Andalusia) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Selangor (KUISCELL) hari ini telah mengumumkan tarikh khusus bagi program Kibar Madinah selama dua tahun iaitu bagi musim 1445H dan 1446H.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, tarikh yang ditetapkan adalah 3 November hingga 3 Disember 2023; 6 Julai 2023 hingga 7 Ogos 2024;1 Disember hingga 30 Disember 2024 dan 1 Februari hingga 1 Mac 2025.

Katanya, tawaran pakej ‘education cum Umrah’ (edu-umrah) itu dilihat sebagai peluang terbaik buat mereka yang berhasrat menetap lama di Madinah.

“Alhamdulillah, kita mampu menerbangkan lebih 50,000 jemaah umrah setiap tahun dan pada 1445H, Andalusia telah bersedia dengan prasarana bilik hotel di Makkah dan Madinah, tiket penerbangan pergi balik yang terjamin serta jaringan pengurusan jemaah umrah di Tanah Suci yang lengkap bagi menyantuni 70,000 jemaah.

“Lebih 100 orang di antara bekas pelajar keluaran KUIS adalah di antara mutawif terbaik Andalusia dan ini menjadi pelengkap kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Andalusia dan menjadi idaman banyak travel agensi umrah yang lain, ujarnya ketika majlis Pelancaran Kibar Madinah 4.0 di Auditorium Andalusia, di sini, hari ini.

Pelancaran program hari ini telah dirasmikan oleh Muhammad Hafiz Mohammed Haneefa atau dikenali PU Hafiz sambil disaksikan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KUISCELL, Ahmad Fuad Mat Ali serta barisan rakan strategik Bank Islam dan Saudi Tourism Authority.

Menurutnya, program yang sangat istimewa dan unik itu kan diadakan di antara 3 November sehingga 3 Disember tahun ini bagi 90 orang peserta bertuah.

“Di dalam program ini nanti, peserta Kibar Madinah 4.0 akan berada di Madinah selama 25 hari untuk pengajian Bahasa Arab di Universiti Islam Madinah manakala lima hari lagi adalah di Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah di bawah bimbingan mutawif kelahiran KUIS.

“Insya-Allah, selain akan melalui kursus Bahasa Arab Fushah (rasmi) di sebuah universiti yang mungkin tidak pernah diimpikan, peserta juga akan dibawa ke tempat-tempat ziarah yang istimewa di Madinah dan Makkah di samping aktiviti-aktiviti harian yang lebih mendedahkan mereka kepada penggunaan Bahasa Arab Ammiyah (pasar).

“Antara program yang bakal diadakan adalah termasuk program memasak di rumah penduduk tempatan bagi mempelajari bahasa Arab,”tambahnya.

Sehubungan itu, Ida Riswana menegaskan bahawa program ini terbuka kepada semua orang dan menggalakkan penglibatan lebih ramai orang muda termasuklah wanita dalam Program Kibar Madinah kali ini.

“Program Kibar Madinah ini terbuka kepada semua peserta yang berusia 16 tahun dan ke atas serta mempunyai tahap kesihatan yang baik bagi memudahkan proses sepanjang berada di sana.

“Buat masa ini, pakej yang disediakan bermula daripada RM20,000, lengkap dengan bayaran yuran universiti, tiket penerbangan, penginapan dan makan minum sepanjang 30 hari di Universiti Islam Madinah,”jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya juga turut mengadakan kolaborasi bersama Bank Islam bagi membantu peserta dalam pakej pembiayaan.

“Syarat kelayakan itu bergantung kepada kelulusan pihak bank dan akan diumumkan pihak mereka nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI