fbpx
GAMBAR HIASAN

Jangan terkejut jika dapat saman ekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAYSIA sememangnya sebuah negara yang penuh budaya dan warna-warni. Ia ditambah dengan kepelbagaian kaum yang telah mencorakkan adat dan tatasusila yang cukup istimewa.

Rakyatnya ramah, mudah mesra dan sangat bersopan santun sehinggakan ada orang luar yang lebih mengingati keperibadian rakyat Malaysia berbanding deretan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, di sebalik kemesraan dan sifat sopan santun yang tinggi, masih ada tabiat buruk rakyat negara ini yang sedikit mencacatkan kehidupan bermasyarakat.

Tabiat buruk ini banyak berlaku di atas jalan raya. Tidak kira individu itu adalah penunggang motosikal ataupun pemandu kereta, semuanya sama iaitu ingin cepat dan mahu menjadi yang pertama.

Ironinya, ramai yang suka memandu di laluan kecemasan dan seronok memotong ‘Q’ ketika menunggu giliran di plaza tol. Tabiat itu dapat dilihat terutama pada waktu puncak mahupun ketika berlakunya kesesakan.

Selain dua tabiat itu, ada satu lagi perihal yang kurang enak tentang pemandu Malaysia iaitu suka memandu laju.

Situasi ini mungkin nampak remah dan biasa, tetapi kesan daripada tabiat ini mampu mencetuskan musibah yang membawa maut.

Ini dibuktikan apabila statistik kemalangan maut pada tahun 2018 yang dianggarkan seramai 6,000 orang banyaknya berpunca daripada pemanduan laju.

Malah, laporan penyiasatan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2020 turut mendedahkan bahawa tingkah laku pemanduan berisiko dan memandu melebihi had laju menjadi penyumbang kepada kematian di jalan raya.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2017 juga menyatakan memandu melebihi had laju telah menyumbang kepada 30 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya di negara-negara berpendapatan tinggi.

Atas sebab itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat keputusan untuk melaksanakan operasi saman tembak laju atau saman ekor di seluruh negara berkuat kuasa pada 21 Ogos lalu.

Operasi ini yang secara jelas kurang disenangi kebanyakkan pemandu jalan raya sebenarnya bertujuan untuk memupuk budaya pemanduan berhemah dalam kalangan rakyat, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.

Namun, tujuan ini akan menjadi sia-sia apabila rakyat tidak menyokongnya, malah meneruskan tabiat buruk dengan memandu melebihi had laju.

Apapun, kesimpulannya amat mudah. Kalian berani langgar undang-undang, maka kalian juga mesti berani menghadapi hukumannya.

Dan yang pasti, jangan ada yang buat-buat terkejut jika saman ekor bernilai RM300 itu tiba-tiba ada di hadapan pintu rumah kalian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN