fbpx

APMM tahan ‘sunset cruise’ ingkar Ordinan Perkapalan Saudagar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kapal persiaran 'sunset cruise' ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di perairan Langkawi pada semalam.

LANGKAWI – Hasrat 26 pelancong untuk menikmati pemandangan matahari terbenam punah apabila kapal persiaran ‘sunset cruise’ dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)  di perairan ini pada semalam.

Kapal persiaran tersebut ditahan di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Pulau Dayang Bunting kira-kira pukul 6.30 petang kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga kru terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga Thailand berusia antara 31 hingga 51 tahun.

Katanya, kapal persiaran berkenaan ketika kejadian dipercayai digunakan untuk membawa 26 pelancong untuk melihat pemandangan matahari terbenam.

“Kapal itu disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa juragan, sijil penumpang tamat tempoh dan gagal mempamerkan lesen bot,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga kru terbabit bersama kapal persiaran ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Bukit Malut, di sini untuk siasatan lanjut.

Beliau pada masa sama meminta semua pengusaha kapal persiaran untuk mematuhi segala aspek pelesenan, insurans dan keselamatan bagi menjaga keselamatan pelancong dan penumpang kapal persiaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI