fbpx
KAKA AZRAFF

Kaka Azraff ‘merangkak’ cari keseimbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMEGANG tiga portfolio dalam hidup, sebagai anak seni, isteri dan ibu bukan tugas yang mudah untuk dilakukan wanita bernama Kaka Azraff.

Banyak keinginan dan perkara harus diketepikan bagi memastikan semua yang direncana setiap hari berjalan lancar.

Itulah hakikat hidup Kaka Azraff ketika ini. Jika dahulu kerjaya seni menjadi prioriti hidupnya, kini kecintaan pertamanya itu harus berada di tangga kedua.

Baginya, keluarga iaitu suami dan tiga anaknya adalah keutamaan yang harus didahulukan.

Bukan sengaja ingin memperlahankan rentak karier tetapi proses pembesaran anak-anaklah menjadi titik perhatiannya kini. 

Kata Kaka, anak membesar hanya sekali dan tidak akan berulang jika terlepas walau sesaat pun.

Keseimbangan

“Alhamdulillah, saya sekarang sudah kembali bekerja selepas melahirkan anak ketiga pada Jun lalu. 

“Perlahan-lahan mencari rentak dan waktu untuk kembali bekerja memandangkan ketika ini anak sudah tiga, jadi jadual sebagai seorang ibu sangat padat,” kata pemilik nama penuh Nor Atiqa Noor Azraff itu kepada HibGlam baru-baru ini.

Akuinya, menjaga tiga orang cahaya mata yang masih kecil memerlukan perhatian penuh, namun syukur suami banyak membantu.

MENURUT Kaka, kerjaya seni duduk di tangga kedua selepas keluarga dan anak-anak. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

“Semuanya masih okey dan masih juga ‘merangkak’ mencari rentak untuk dapatkan keseimbangan masa dan perhatian membesarkan tiga orang anak serentak.

“Suami banyak membantu dan saya ada juga ambil pembantu untuk melancarkan kerja-kerja harian lain,” jelas penyanyi yang popular menerusi lagu Gila itu.

Wanita berusia 34 tahun itu juga bersyukur dikurniakan lelaki bernama Adam Azriff tidak pernah lupa menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa bagi membantu menguruskan tiga anak mereka setiap hari.

Seimbang

Jelasnya, perkara itu sangat membantu dirinya yang masih mencari-cari titik keseimbangan hidup antara keluarga dan kerjaya.

“Kalau inginkan kehidupan seimbang ketika ini memang sukar tetapi suami banyak membantu. Dia juga tak mahu saya berhenti menyanyi sebab tahu semua itu adalah minat saya.

“Bagi saya ketika ini ialah keseimbangan kesihatan mental, iaitu jangan terlalu beri tekanan pada diri, terutama mental. 

“Kalau nak pastikan keluarga bahagia, perlu berikan kegembiraan kepada diri sendiri dahulu,” tuturnya.

Jelas Kaka, bagi memastikan hal tersebut, dia juga kini meletakkan kerjaya di posisi kedua iaitu bawah keluarga yang kini menjadi prioriti.

“Keutamaan saya ketika ini ialah anak-anak. Kerja sudah menjadi nombor dua.

“Tanpa sedar, semua itu membuatkan hidup saya lebih stabil buat masa ini.

KAKA bakal meluncurkan album studio perdana tahun hadapan. Katanya, konsep album bagaimanapun masih bernuasa ‘Kaka Azraff’. 

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tawaran menyanyi masih ada, cuma tidaklah serancak dahulu,” kongsinya.

Bercerita lanjut, kes penderaan kanak-kanak yang semakin membimbangkan ketika ini juga antara sebab dia memilih menjaga sendiri tiga anaknya.

“Setiap kali melihat ada kes dera, selalu berdoa dalam hati agar semua itu dijauhkan daripada anak-anak saya. 

“Rasa takut dan sedih sangat melihat ramai kanak-kanak tidak bersalah menjadi mangsa dera.

“Sebab itu juga saya letak kamera litar tertutup di setiap penjuru dalam rumah bagi memudahkan saya memantau aktiviti anak-anak sepanjang masa,” jelasnya.

Album tertangguh

Sempat berkongsi perjalanan karier seni, anak saudara kepada penyanyi Ella itu sebenarnya dalam proses menghasilkan sebuah album penuh pertamanya.

“Memiliki album sendiri adalah impian saya sejak bergelar penyanyi. Insya-Allah masih dalam pembikinan, mungkin selepas ini saya akan mula sibuk dalam studio.

“Material atau lagu yang sudah dirakam untuk album tersebut kini sudah ada tiga.

“Beberapa single saya terdahulu juga akan dimasukkan juga dalam album tersebut tetapi yang terpilih sahaja supaya bersesuaian dengan konsep album.

“Banyak kali tertangguh termasuk disebabkan saya hamil dan bersalin sebelum ini. 

Mengikut perancangan, album itu akan dilancarkan tahun depan,” kongsinya teruja.

Tambah anak kelahiran Klang, Selangor itu, konsep album pertamanya diselarikan dengan status sebagai seorang ibu, namun masih terkandung jati dirinya. 

“Konsep album sudah lama ada, seperti yang saya impikan selama ini.

“Cuma konsep tersebut saya akan sesuaikan dengan imej baharu sebagai seorang ibu, namun tetap mengekalkan identiti seorang Kaka Azraff,” tuturnya seraya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN