fbpx

Dua kes cacar monyet dikesan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Dua kes cacar monyet atau mpox dilaporkan di Malaysia di mana kes pertama jangkitan itu melibatkan seorang lelaki warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara positif mpox.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes pertama disahkan pada 26 Julai lalu melibatkan seorang lelaki warga asing yang tinggal dan bekerja di Malaysia sejak April 2022.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara melaporkan mpox pada 6 Julai 2023 dan kembali semula ke Malaysia pada 10 Julai 2023.

“Lelaki itu mula menunjukkan gejala pada 19 Julai 2023 selain lepuh mula muncul pada 23 Julai 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Susulan itu, katanya, lelaki warga asing itu diarahkan menjalani isolasi sebelum dibebaskan pada 10 Ogos 2023 setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi.

Katanya, beliau disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes mpox.

“Kes kedua pula adalah kontak kepada kes pertama atau kes indeks. Beliau seorang lelaki warga tempatan yang mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana merupakan kontak kepada kes positif mpox.

“Beliau telah diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai 2023 dan disahkan positif mpox pada 29 Julai 2023. Kes kedua masih dalam tempoh isolasi dan dalam keadaan sihat.

“Semua kontak bagi kes pertama juga telah dikenalpasti dan status kesihatan mereka dipantau. Tiada yang mengalami gejala jangkitan mpox kecuali kes kedua,” jelasnya.

Menurut Dr. Muhammad Radzi, mpox merupakan sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox di mana ia berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu mempunyai gejala dan tanda jangkitan.

“Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

“Individu positif mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya,” ujarnya.

Katanya, mpox juga akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

“Jadi, semua pengembara yang tiba dari negara melaporkan mpox dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

“Gejala-gejala mpox adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh lain.

“Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI