PETALING JAYA – Seorang wanita mendedahkan dia terpaksa mendapatkan rawatan perubatan Islam akibat diganggu selepas menonton video yang memaparkan aktiviti paranormal ketika siaran langsung di TikTok.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Hanisah, 20-an, berkata, dia merasai pengalaman ‘luar biasa’ selepas mendengar doa ‘membuka hijab’ ketika menonton video tersebut baru-baru ini.
“Sebelum ini, saya sudah menonton banyak siaran langsung tentang aktiviti memburu hantu. Saya lakukannya kerana minat dan juga mahu mengisi masa terluang.
“Walau bagaimanapun, selepas melihat sebuah video di TikTok baru-baru ini, pengendali akaun tersebut membacakan doa bagi membolehkan penontonnya melihat makhluk halus.
“Sebelum ini, ada yang cakap ia sekadar kandungan video semata-mata, tetapi bila tonton video itu saya terasa seperti berada di lokasi seram tersebut. Gangguan mula berlaku sebelum masuk tidur, saya berasa resah. Selepas bangun tidur, ada kesan lebam pada lengan dan kaki.

“Itu baru permulaan, selepas itu setiap hari saya berasa seperti ditindih pada waktu tengah malam dan lebam menjadi semakin teruk,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Hanisah memberitahu, dia kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada keluarganya sebelum dirujuk kepada pusat rawatan Islam.
“Perawat beritahu saya diganggu dan lemah semangat. Saya ambil keputusan berhenti menonton video aktiviti paranormal selepas mendapat nasihat pakar perubatan Islam. Alhamdulillah sekarang sudah tidak diganggu lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penonton dikenali sebagai Fiza memaklumkan, dia merasai pengalaman mendengar bunyi guli, suara orang memanggil dalam rumah dan sukar tidur lewat malam.
“Hampir setiap malam seperti ada bunyi guli dicampak, bukan sebiji tapi banyak. Bunyi itu datangnya dari kawasan tandas dan dapur,” ceritanya.














