fbpx

Mahkamah: Ahmad Zahid cari dana siapkan masjid selepas akaun Yayasan Akalbudi dibeku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus projek memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencari sumber kewangan bagi meneruskan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak yang tergendala hampir tujuh bulan ekoran siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Yayasan Akalbudi.

Ramli Ghani, 56, berkata, Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan untuk mendapatkan wang bagi memastikan projek pembinaan masjid yang menelan kos RM43.7 juta, berjalan lancar.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, saksi pembelaan kesembilan itu turut mengesahkan pembinaan masjid berkenaan dilaksanakan melalui ikatan kontrak yang diperakui oleh pihak guaman.

Ramli selanjutnya berkata, perjanjian pembinaan masjid itu dimeterai di antara Yayasan Al Falah dan pihak syarikat kontraktor, Noble Energy Construction Sdn. Bhd. dan disediakan oleh firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Jelas Ramli, pembinaan masjid itu merupakan sumbangan daripada Yayasan Akalbudi (diasaskan oleh Ahmad Zahid) dan dimulakan pada 12 Jun 2017.

Semalam, saksi itu berkata, ekoran siasatan yang dilakukan sekitar pertengahan 2018 menyebabkan pihak syarikat kontraktor tidak menerima bayaran selama tiga bulan selepas akaun Yayasan Akalbudi dibekukan dan disita oleh SPRM.

Menurut Ramli, kerja-kerja pembinaan kemudian diteruskan semula pada awal 2019 selepas syarikat kontraktor itu mendapat kelulusan pembayaran daripada Yayasan Al Falah yang juga milik ahli keluarga Ahmad Zahid dan siap sepenuhnya pada April lalu.

Sementara itu, mahkamah turut mendengar keterangan saksi pembelaan ke-11, Kamarulzaman Sampol, 54, iaitu ketua kampung Sungai Keli, Hutan Melintang, Bagan Datuk.

Saksi berkata, Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk, dikenali sebagai pemimpin yang kerap membuat pelbagai sumbangan amal dan kebajikan kepada penduduk kawasan itu.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri pernah mengeluarkan sumbangan peribadi RM100,000 bagi membaik pulih Sekolah Agama Rakyat Sungai Keli yang telah uzur dan bangunan itu siap sepenuhnya pada 2007.

Menurut saksi lagi, antara sumbangan lain termasuk pembiayaan kos RM80,000 bagi menukar atap bumbung masjid yang bocor dan membina pagar Masjid Sungai Keli yang siap sepenuhnya pada 2008.

Selain itu, ujar Kamarulzaman berkata, Ahmad Zahid turut membina dewan makan di Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Addin yang menelan kos RM20,000.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung Khamis ini.

Ahmad Zahid, 70, dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI