fbpx

Johor berpotensi jadi hab tanaman lada Malaysia – Fadillah Yusof

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADILLAH (tengah) menyampaikan mug cek skim tanaman lada baharu bernilai RM4,600 kepada Nazliza Nordin sempena Program Pemerkasaan Penggiat Lada di Hotel Le Grandeur, Senai, Kulai hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

KULAI – Johor mempunyai potensi untuk menjadi hab pemasaran bagi produk lada negara disebabkan lokasinya yang dekat dengan Singapura selain pengeluar terbesar produk itu di semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah pekebun lada di semenanjung yang berdaftar dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) adalah seramai 294 orang dengan keluasan tanaman seluas 92 hektar.

“Daripada jumlah itu, Johor mempunyai bilangan pekebun lada paling ramai di semenanjung iaitu seramai 155 pekebun dengan keluasan tanaman 38 hektar.

“(Johor boleh menjadi hab lada), Boleh, kenapa tidak boleh. Faktor yang menarik di Johor ini adalah lokasinya yang berdekatan dengan Singapura. Jadi itu boleh menjadi platform atau batu loncatan untuk memasarkan produk ini di peringkat antarabangsa.

“Tetapi kita mahu fokus agar produk hiliran lada ini dihasilkan di Johor sendiri, kemudian boleh dieksport. Kita tidak mahu hantar lada ke Singapura kemudian ia jadi jenama republik itu, biarlah ia kekal jenama Malaysia,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Pemerkasaan Penggiat Industri Lada yang diadakan di Senai, di sini hari ini.

Sementara itu, Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komuniti turut memberitahu, Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar dunia selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia.

Tambah beliau lagi, kerajaan turut mengambil inisiatif menyemak semula nilai bantuan kepada pekebun kecil tanaman lada untuk meningkatkan keuntungan yang diperoleh mereka.

“Antaranya adalah dengan meningkatkan bantuan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 setiap hektar berbanding RM26,000 sebelum ini, manakala kadar bagi Skim Tanaman Lada Matang (STLM) pula ditingkatkan daripada RM13,000 setiap hektar kepada RM25,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI