fbpx

KKM kesan 3 krim kecantikan mengandungi racun berjadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual.

PUTRAJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga produk kosmetik didapati mengandungi racun berjadual boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Tiga produk berkenaan adalah BL Ledehh Day Cream dan BL Ledehh Night Cream mengandungi racun merkuri manakala bagi produk For U Night Cream – 15g pula racun jenis Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, NPRA menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik tersebut.

Jelasnya, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dipasarkan di Malaysia.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan yang mana boleh diserap masuk ke dalam badan san menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan selain menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Radzi berkata, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate pula adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Tambahnya, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan dan perubahan warna kulit yang tidak diingini.

“Ini termasuk kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penjual dan pengedar menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI