fbpx

Sindiket ‘sedut’ diesel tumpas, KPDN rampas 47,540 liter diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARMIZAN (kanan) mengetuai Ops Tiris yang dijalankan KPDN Putrajaya di sebuah premis di Taman Perindustrian Plentong, Masai, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Satu sindiket menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Taman Perindustrian Plentong, Masai, di sini telah ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Ops Tiris yang dijalankan pihaknya itu merupakan hasil intipan selama enam bulan.

Menurut beliau, serbuan itu dijalankan sepasukan penguatkuasa daripada KPDN Putrajaya pada pukul 8.10 malam.

“Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki warganegara tempatan berusia 37 tahun yang mengaku sebagai pemandu treler telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel berjumlah 47,540 liter. Turut dirampas lori tanker, dua buah lori dan satu kenderaan pacuan empat roda bernilai keseluruhan RM267,457,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut, malam tadi.

Tambah Armizan, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mengisi minyak di beberapa stesen minyak sekitar Pasir Gudang ke dalam lori sebelum dihantar ke stor haram berkenaan untuk dijual di pasaran.

“Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini.

“Siasatan turut dibuat bagi memastikan rantaian pengedaran minyak diesel tersebut iaitu ke mana ia diedarkan,” ujarnya sambil memberitahu KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pesalah yang melakukan aktiviti sedemikian.

Sehubungan itu, Armizan meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp di talian 019-279 4317 dan 019-848 8000 atau membuat panggilan ke 1-800-886-800. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI