fbpx

Tiga peminjam wang mangsa tembakan direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis sedang memeriksa kereta dinaiki tiga peminjam wang yang ditembak pihak tidak dikenali di Kampung Rhu Sepuluh, Setiu semalam.

SETIU – Tiga pekerja syarikat pinjaman wang yang terlibat dalam insiden tembakan di Kampung Rhu Sepuluh, Penarik semalam, direman empat hari sehingga Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, perintah reman itu dibenarkan Mahkamah Majistret Setiu, di sini hari ini, bagi membantu siasatan dan mengenal pasti motif kejadian.

Beliau berkata, semakan menunjukkan tiga lelaki berusia 24 sehingga 36 itu masing-masing memiliki sehingga 14 rekod jenayah lampau seperti penyalahgunaan dadah, peras ugut dan rompak.

“Walaupun mereka mangsa dalam insiden ini, polis terpaksa menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan untuk kami jalankan siasatan menyeluruh punca dan motif kejadian.

“Mahkamah hari ini membenarkan mereka direman empat hari. Identiti suspek yang melepaskan tembakan masih sedang dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Affandi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online semalam melaporkan ketiga-tiga pekerja syarikat pinjaman wang tersebut diserang sekumpulan individu yang menaiki dua kenderaan sebaik tiba di belakang sebuah pasar di Rhu Sepuluh.

Dalam kejadian pada pukul 12.55 tengah hari itu, mereka yang menaiki kereta Perodua Bezza ke lokasi kejadian untuk berjumpa bakal pelanggan yang dikatakan mahu membuat pinjaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI