fbpx

Kanak-kanak mangsa dera sihat, ceria dapat jumpa bapa, datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRIN-NISA (kiri) menziarahi kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa dera di HSI Johor Bahru sambil disaksikan ahli keluarga kanak-kanak berkenaan yang datang dari Kedah.

JOHOR BAHRU – Kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang dipercayai menjadi mangsa penderaan ibu kandung dan rakan tomboy di Bandar Layangkasa, Pasir Gudang dalam keadaan stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kanak-kanak itu juga kelihatan ceria setelah bertemu dengan ahli keluarganya yang lain.

Menurut beliau, antara yang hadir ke hospital bagi menziarahi kanak-kanak tersebut dari Kedah termasuklah bapa, datuk serta bapa saudaranya.

“Kanak-kanak itu masih dirawat di Bahagian Kanak-Kanak Hospital Sultan Ismail (HSI). Kanak-kanak itu sihat dan sangat ceria kerana bapa kandungnya, bapa saudara serta datuknya datang dari Kedah,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Tambah Khairin-Nisa, kanak-kanak itu akan menerima rawatan terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada waris atau orang yang layak dan sesuai di kampung halamannya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk di kawasan kejiranan Bandar Layangkasa, Pasir Gudang kerana berdikari prihatin dan mengambil langkah proaktif.

“Tindakan mereka itu berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut daripada terus menjadi mangsa penderaan,” ujarnya.

Kelmarin, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, pihak polis telah menahan reman pasangan tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Beliau dilaporkan berkata, ibu mangsa yang berusia 27 tahun direman enam hari, manakala suspek berperwatakan tomboy berusia 30 tahun direman selama tujuh hari.

“Kedua-dua suspek tersebut telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada pukul 12.30 tengah malam Jumaat lalu di kediaman mereka.

“Polis turut merampas dua batang rotan bagi membantu siasatan, manakala semakan rekod mendapat kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI