fbpx

PRN: Calon Bebas lapor polis dakwa diugut adik calon lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Satees menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, M. Satees mendakwa diugut oleh dua adik lelaki kepada seorang lagi calon yang turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pagi tadi.

Menurut Satees, kejadian itu berlaku ketika beliau berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyior di sini untuk memeriksa peti-peti undi di saluran sekolah berkenaan.

Dakwa Satees yang menggunakan logo pokok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, secara tiba-tiba calon terbabit muncul bersama sekumpulan individu lain sebelum memarahi dan memaki-hamun beliau.

Pada masa yang sama, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam itu, salah seorang adik lelaki kepada calon berkenaan turut memarahi dan mengugutnya dengan berkata: ‘Esok saya akan memotong pokok dengan akar sekali.’

“Apabila saya senyum dan berkata buatlah apa yang kamu mahu, mereka terus memarahi saya dan dan meminta saya untuk tunggu dan lihat apa yang akan berlaku kepada saya selepas hari esok.

“Seorang lagi adik lelaki calon tersebut juga mengugut saya dengan berkata: ‘Jangan main-main dengan saya, saya bukan macam mereka. Saya akan buat kamu merana,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat laporan polis mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.05 petang tadi.

Menurut Satees, adik lelaki kepada calon itu juga memarahi seorang wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana memanggil beliau dengan panggilan ‘YB Satees’ dan mendakwa beliau bukan lagi seorang YB atau Yang Berhormat.

“Apabila saya keluar menuju ke pagar sekolah, seorang lelaki lain pula datang dan memaki saya dengan kata-kata kesat.

“Ketika itu, saya bersama ejen saya dikerumuni oleh kira-kira lapan individu lain yang turut sama memaki-hamun, mengugut serta menggertak saya,” katanya yang membuat laporan polis kerana mendakwa dirinya dan keluarga terancam disebabkan salah seorang daripada adik calon tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Tambah Satees, beliau berharap agar polis dapat memberi jaminan terhadap keselamatan diri dan keluarganya selepas laporan itu dibuat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI