fbpx

Undi Melayu penting kemenangan PH-BN, PN pada 12 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNDI Melayu dikata penting bagi mana-mana gabungan untuk menang PRN. -GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Faktor undi Melayu dikatakan signifikan dalam menentukan kemenangan parti-parti politik yang bertan­ding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan terdiri dalam kalangan pe­ngundi Melayu.

“Gabungan parti politik Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran besar dalam konteks pengundi Melayu berban­ding Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan naratif perjuangan Melayu dan Islam.

“Adakah penyokong UMNO sendiri telah merestui kerjasama dengan DAP atau mereka akan memberi tindak balas yang negatif pada PRN kali ini juga menjadi persoalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, Jeniri berkata, berdasarkan pendapat tersebut, beliau percaya PN akan berdepan laluan mudah untuk memenangi PRN di Kelantan, Terengganu dan juga Kedah.

Menurut beliau, gabungan parti politik Kerajaan ­Perpaduan pula hampir pasti menang di Pulau Pinang,
tetapi perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mempertahankan Selangor dan Negeri Sembilan.

PRN pada 12 Ogos ini menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN dipertandingkan di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi pula menjelaskan, kira-kira 80 peratus pengundi di Kelantan, Terengganu dan Kedah terdiri daripada pengundi Melayu.

Menurut beliau, bagi Selangor dan Negeri Sembilan pula, jumlah pengundi berdasarkan kaum hampir sama.

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga kerusi-kerusi DUN yang memiliki kira-kira 60 peratus pengundi Melayu di beberapa negeri.

Sehubungan itu, beliau turut berpandangan, undi daripada pengundi Melayu adalah signifikan untuk mana-mana parti politik memenangi PRN pada kali ini.

“Sebab itu kita lihat, gabungan antara PH-BN sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan pengundi ­Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“PN pada masa pula sedang berusaha mendapatkan sokongan pengundi Melayu di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Apakah sikap pengundi Melayu terhadap PH-BN atau PN akan dapat dilihat pada 12 Ogos ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI