fbpx

Pencapaian terbaik Malaysia pada Universiade

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTINJEN Malaysia ke Universiade Chengdu meraih pencapaian terbaik dalam sejarah apabila meraih 1 pingat emas, 1 pingat perak dan 5 pingat gangsa secara keseluruhan.

CHENGDU, China – Temasya Sukan Universiti Dunia atau dikenali sebagai Universiade mela­buhkan tirainya di Chengdu, China dan tuan rumah membuktikan kepada dunia bahawa mereka sememangnya penganjur paling hebat dalam sejarah apabila mengangkat Universiade Chengdu benar-benar bertaraf Sukan Olimpik Universiti Dunia.

China muncul juara keseluruhan hingga tidak terkejar oleh negara lain dengan mengumpul 103 pingat emas, diikuti Jepun kedua (21 pingat emas) dan Korea Selatan ketiga (17 pingat emas).

Bertemakan Chengdu Makes Dream Come True, beribu-ribu impian dibawa oleh kontinjen dari 120 negara termasuk kontinjen Malaysia yang menghantar penyertaan sejak Universiade Kobe, Jepun 1985 dangan harapan merangkul pingat emas sulung pada temasya ini daripada terus menjadi mimpi dan igauan.

Akhirnya, Chengdu menunaikan impian seluruh atlet negara dan rakyat Malaysia apabila pe­nantian selama 38 tahun akhirnya tertunai dan memahat sejarah negara apabila atlet wusyu, Tammy Tan Hui Ling merangkul pingat emas pertama menerusi acara qiangshu wanita di Gymnasium Chengbei pada 31 Julai lepas.

PEKAN menyampaikan sejambak bunga kepada Tammy selepas merangkul pingat emas pertama menerusi acara qiangshu wanita di Gymnasium Chengbei pada 31 Julai lepas.

Ternyata pingat emas Tammy bagaikan ‘tonik ajaib’ hingga membangkitkan semangat juang rakan atlet wusyu lain untuk menambah tiga lagi pingat gangsa menerusi Mandy Cebelle Chen (tajiquan wanita), Calvin Lee Wai Leong (nangun lelaki) dan Ang Qi Yue (daoshu lelaki), sekali gus mencapai sasaran satu emas dan tiga gangsa.

Ia bagaikan tahun paling gemilang buat Malaysia di Universiade apabila gandingan ‘bidan terjun’ yang baru dipupuk selama dua minggu, Kimberly Bong Qian Ping dan Ong Ker Ying turut mence­riakan kem negara dengan ­meraih pingat perak.

Bagaimanapun, badminton yang cemerlang dengan 1 perak dan 3 gangsa ketika Universiade Taipei 2017, kali ini hanya berjaya menyumbang dua pingat gangsa untuk Malaysia menerusi acara berpasukan campuran dan beregu lelaki.

Walaupun tiada tambahan pingat, kontinjen Malaysia turut melakar beberapa kejayaan tambahan terutamanya pe­renang negara, Bryan Leong Xin Ren memadamkan rekod kebangsaan berusia 14 tahun milik Daniel Bego dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu dengan masa 24.35 saat.

Pelari sensasi 400 meter negara, Umar Osman pula mencatat sejarah mema­damkan rekod kebangsaan miliknya pada Sukan Sea Kemboja Mei lalu iaitu 46.34 saat sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam dengan masa 46.33 saat dan 46.09 saat serta layak beraksi di akhir.

“Kita dah cipta sejarah tamatkan kemarau 38 tahun untuk dapat pingat emas pertama Universiade, ini temasya sukan Olimpik Universiti yang ‘levelnya’ sangat tinggi. Perit untuk dapat pingat di sini.

“Saya harap ini membuka mata Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Sukan Negara agar benarkan atlet-atlet terbaik, bukan atlet ‘tier dua’ yang boleh kita bawa ke Universiade pada masa akan datang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen Universiade Malaysia, Datuk Dr. Pekan Ramli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI