AMPANG jaya – Tindakan sesetengah bank menjual maklumat hutang lapuk kepada syarikat tertentu salah dari segi undang-undang kerana telah melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Pengerusi Persatuan 4PM, Rosland Mohd. Arif berkata, kes itu terbongkar selepas pihaknya menerima banyak laporan daripada orang ramai.
“Sebulan kami terima lebih 2,000 laporan kes seperti ini.
“Ia berlaku sejak 2013. Jika sebulan lebih 2,000 bayangkan berapa banyak lagi kes yang tidak dilaporkan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Rosland, pemindahan tersebut dilakukan oleh pihak bank tanpa perintah hak letak daripada mahkamah. Bahkan, pemilik akaun juga tidak tahu mengenai transaksi antara pihak bank dan juga pihak ketiga tersebut.
“Ada satu kes pada 2011 di mana siasatan mendapati bank kata akaun penghutang telah dibeli oleh pihak ketiga. Sudahlah mangsa tertekan dengan hutang lama, kini kena hadap pula masalah baharu,” katanya.
Ujar Rosland, ada juga mangsa yang terpaksa membayar faedah terkumpul dalam jumlah yang tidak masuk akal sehingga mencecah jutaan ringgit sedangkan hanya perlu membayar RM15,000 sahaja.
“Sekiranya masalah ini tidak diatasi dan dipantau oleh pihak bertanggungjawab, ramai lagi yang bakal menjadi mangsa. Tidak mustahil akan berlaku banyak lagi kes cerai, bunuh diri dan sebagainya,” katanya.














