fbpx

Radar pengawasan mudah gerak buatan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radar pengawasan mudah gerak dipasang pada kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan APMM.

MALAYSIA dikelilingi landskap laut yang terbahagi kepada Laut China Selatan, Selat Tebrau dan Selat Melaka.

Dengan keadaan negara yang memiliki pantai luas, tugas pengawasan itu tidak semudah dibayangkan.

Sebagai negara maritim, pasukan keselamatan perlu diperkuatkan dengan bantuan teknologi untuk pelengkap kepada operasi dan rondaan.

Bagi memperkukuhkan lagi keselamatan maritim negara, sistem pengawasan mudah gerak yang dihasilkan syarikat tempatan, AMCOP menjadi aset terbaharu yang dimiliki oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dikenali dengan nama Kenderaan Unit Pengawasan Bergerak (MSU), ia merupakan aset yang membantu mempertingkatkan pengesanan aktiviti di perairan negara, sekali gus memperkasakan peranan agensi itu.

Perolehan itu dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai aset pelengkap pengawasan pantai kepada Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA).

MSU dipasang di atas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang pembinaannya disiapkan dalam masa enam bulan.

Ia merupakan projek pembangunan syarikat tempatan hasil kerjasama dengan APMM.

Pengoperasian sistem MSU itu diharapkan dapat membantu APMM mengurangkan kebergantungan kepada aset udara dan laut dalam mencegah jenayah maritim.

MSU dapat meluaskan kawasan dicerap dengan lebih tepat secara rekod masa semasa.

Aset tersebut telah pun diterima APMM apabila diserahkan pada Mei lalu di Langkawi, Kedah.

Bakal memberikan liputan sensor yang maksimum, MSU dapat meluaskan liputan maritim dengan memaparkan kawasan dicerap dengan lebih tepat secara rekod masa semasa (real time).

Misalnya adalah gambaran di permukaan yang memudahkan penguat kuasa melaksanakan rondaan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AMP Corporation (M) Sdn. Bhd., Datuk Seri Mustaffa Abd.Rahman berkata, semua perkakasan dan peralatan di dalam MSU dapat memudahkan ia digerakkan termasuk ke kawasan yang sukar dilalui oleh kenderaan biasa.

“Ia mempunyai keupayaan pengawasan sehingga 50 batu nautika dari kedudukan MSU dioperasikan.

“Tiang radar pula boleh dinaikkan setinggi enam meter dengan semua sistem beroperasi menggunakan bekalan kuasa.

“MSU akan membantu bagi mendapatkan liputan sensor yang maksimum.

“Pada masa sama, ia meluaskan liputan maritim bagi memastikan rondaan serta operasi SAR lebih cekap,” ujarnya ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.

Sebuah kenderaan lengkap MSU bernilai kira-kira RM4 juta dan difahamkan pihak APMM merancang untuk mempunyai antara lapan hingga 10 unit pada masa hadapan.

Jumlah tersebut dikatakan sudah memadai dengan keperluan operasi semasa APMM.

Untuk makluman, AMCOP merupakan syarikat bumiputera yang ditubuhkan pada tahun 1997. Ia mempunyai pengalaman serta kemahiran teknikal dalam menyelenggara Sistem Pengawasan Laut Malaysia (MSSS).

Kemajuan AMCOP sepanjang tempoh tersebut menyaksikan syarikat itu berjaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah mencipta banyak peluang pekerjaan.

Pencapaian AMCOP membangunkan sistem MSU juga menunjukkan kebolehan syarikat tempatan untuk menawarkan teknologi yang setanding dengan kelengkapan buatan luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI