fbpx

45 kad ATM milik keldai akaun dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mancha menunjukkan kad ATM termasuk pelbagai barangan yang digunakan oleh sindiket tipu tawaran kerja sambilan (pusat panggilan) menjalankan kegiatan mereka.

KUCHING – Sebanyak 45 kad mesin juruwang automatik (ATM) milik keldai akaun, adalah antara yang dirampas daripada satu sindiket tawaran kerja sambilan (pusat panggilan) di sini yang berjaya diberkas baru-baru ini.

Justeru, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan mereka yang terlibat menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan itu.

“Hasil siasatan yang dibuat, sindiket didapati menggunakan keldai akaun untuk menjalankan kegiatan mereka.

“Ada yang sudah dikesan dan setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk bagi mengenal pasti sama ada mereka yang terlibat adalah orang tempatan atau warga asing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Sementara, Mancha berkata sindiket itu berjaya ditumpaskan hasil serbuan dan tangkapan yang dilakukan oleh Unit Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPK Sarawak di dua kondominium di sini pada pukul 8 malam Isnin lalu, selepas lebih seminggu intipan dibuat.

Katanya seramai empat orang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20-an telah ditangkap, termasuk merampas 45 keping kad ATM termasuk tiga buah kereta dan pelbagai barangan yang digunakan untuk sindiket itu menjalankan kegiatan berkenaan.

“Kelima-lima suspek telah dipohon reman selama empat hari bermula 8 hingga 12 Ogos ini,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata hasil siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sebagai pusat panggilan dengan menjalankan kegiatan pengawalan akaun bank dan membuat pemindahan wang daripada akaun bank mangsa penipuan kerja sambilan di YouTube ‘Like and Share’ ke akaun bank yang ditetapkan dalam satu kumpulan Telegram.

“Golongan sasaran adalah orang tempatan dan Indonesia,” katanya.

Beliau menambah, sindiket itu dipercayai mula aktif beroperasi sejak Jun lalu dan telah mengaut keuntungan jutaan ringgit, dengan mangsa terbaharu melibatkan seorang wanita yang mengalami kerugian sebanyak RM1.8 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI