fbpx

PRN: Tawaran depan mata, pilihan di tangan rakyat Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masalah bekalan air di Kelantan menjadi antara isu yang masih belum diselesaikan di negeri itu. - GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) dan gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) sudah membentangkan manifesto masing-masing de­ngan memberikan pelbagai tawaran kepada rakyat di Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

PN yang diterajui Pas di ne­geri Cik Siti Wan Kembang itu mengemukakan sebanyak 18 tawaran utama dengan 96 pengisian, manakala BN-PH pula memberikan 34 tawaran berlandaskan empat teras iaitu Syiar Islam, Ekonomi, Pendidikan, Wanita dan Orang Muda selain Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara.

Selain perkembangan ekonomi, kedua-dua gabungan itu dilihat memberi tawaran yang menyentuh aspek bekalan air di dalam manifesto mereka kepada rakyat Kelantan.

PN menawarkan pembangunan bekalan air bersih dengan penjenamaan semula Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan menambah simpanan bekalan air melalui projek takungan air pinggiran sungai (TAPS).

BN-PH pula berjanji akan menghapuskan tunggakan bil AKSB dan menurunkan caj permohonan bekalan air domestik bagi kediaman sekiranya diberikan mandat untuk memerintah Kelantan.

Jika dilihat kepada ruang lingkup tawaran aspek tersebut, janji yang diberikan oleh BN-PH lebih menarik kerana dilihat memberi lebih banyak manfaat dan membantu kebanyakan rakyat di Kelantan daripada belenggu hutang bil air.

Seperti yang diketahui umum, kebanyakan penduduk di setiap daerah menggunakan air telaga tiub yang digali sebelum dipam menggunakan enjin kerana mereka tidak mendapat akses bekalan air bersih AKSB sejak puluhan tahun lalu.

Penduduk yang mempunyai akaun dengan AKSB perlu membayar bil air pada kadar minimum iaitu RM4.50 setiap bulan meskipun paip air di rumah ha­nya mengeluarkan angin.

Mengikut kiraan mudah, penduduk menanggung hutang bil air AKSB sebanyak RM540 sekiranya tidak membayar utiliti itu selama 10 tahun kerana bergantung sepenuhnya kepada bekalan air telaga tiub.

Jika mahu dilihat pada ruang lingkup yang lebih besar, AKSB merekodkan sebanyak RM28.5 juta tunggakan bayaran bil air apabila kebanyakan penduduk di negeri ini masih gagal membayar utiliti tersebut sehingga 30 September tahun lalu.

Berbalik semula kepada manifesto PN dan BN-PH di Kelantan pada PRN, tawaran dua aspek sama telah dihidangkan.

Jadi, pi­lihan terletak di tangan pe­ngundi di Kelantan untuk memilih sama ada untuk mengekalkan peme­rintahan sama atau gabungan parti baharu yang naik untuk mentadbir negeri selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI