GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 1,131 permit ceramah sepanjang tempoh kempen bermula 29 Julai lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepanjang tempoh berkenaan juga tidak ada permohonan permit ceramah ditolak oleh pihak polis.
Menurutnya, tempoh berkempen masih berbaki empat hari lagi dan pihak polis sekali lagi menasihatkan semua pihak agar tidak memainkan isu 3R iaitu melibatkan agama, kaum dan raja serta tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen.
“Orang ramai terutama penyokong parti juga diberi amaran agar tidak melakukan khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen pilihan raya seperti banner, bendera parti, poster dan lain-lain.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar peraturan atau undang-undang ditetapkan tanpa mengira status mereka,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, sebanyak 12 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya telah dibuka bermula 29 Julai sehingga semalam. – KOSMO! ONLINE














