SHAH ALAM – Sebanyak 79 kertas siasatan (IP) dibuka berhubung kesalahan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri, setakat semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah tersebut didapati 20 IP dibuka oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Katanya, secara keseluruhan sebanyak 518 laporan diterima di Selangor berkaitan PRN ini.
“Untuk 3R (isu agama, raja dan kaum) tiada setakat ini di Selangor. Mungkin selepas kes lepas-lepas, kita (polis) dan institusi diraja sudah bagi amaran.
“Alhamdulillah, kita harap benda ini berterusan sehingga habis PRN pada 12 Ogos ini dan tiada lagi berbangkit isu atau eksploitasi 3R antara mana-mana ahli politik. Kalau ada kita ambil tindakan tegas,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau perjalanan proses undi awal melibatkan anggota dan pegawai di IPK Selangor.
Dalam pada itu, Ayob Khan menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang laporan polis daripada Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan terhadap kenyataan fitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
“Setakat ini, tiada laporan diterima. Itu mungkin kenyataan,” jelasnya.
Terdahulu, Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta daripada Muhammad Sanusi.
Ia susulan kenyataan Pengerusi PN Kedah itu ketika menyampaikan ucapan didakwa berunsur fitnah dan tidak benar berkaitan Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG). – KOSMO! ONLINE














