PARIT BUNTAR – Pesawah sudah boleh menarik nafas lega apabila kerajaan menaikkan harga subsidi padi dari RM360 kepada RM500 permetrik tan mulai esok.
Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Madani terhadap pesawah di negara ini.
“Pesawah sudah lama menantikan pengumuman sebegini dan kali terakhir kenaikan subsidi padi ini ialah pada kira-kira 25 tahun yang lalu.
“Dengan pengumuman itu, pesawah di negara ini akan memperolehi sebanyak RM1,700 permetrik tan pengeluaran padi mulai esok,” katanya bercakap kepada pemberita selepas selesai menghadiri Majlis Sentuhan Agromadani Peringkat Negeri Perak di Dewan Kerian Permai di sini hari ini.
Menurut Mohamad, beliau difahamkan peningkatan subsidi itu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun.
“Kenaikan subsidi yang paling akhir adalah semasa Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pada 25 tahun yang lalu.
“Alhamdulillah, dengan kenaikan subsidi ini nasib pesawah terbela,” katanya.
Ketika ditanya sama ada pengumuman yang dibuat oleh Anwar itu akan dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu ketika menjelang pilihan raya negeri, beliau berkata, perkara itu tidak perlu disalah tafsir kerana pesawah sudah sekian lama menantikan pengumuman seumpama ini. – KOSMO! ONLINE














