fbpx
KIBARAN bendera Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghangatkan lagi bahang PRN Selangor.

Perhitungan PRN di Selangor bakal sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tekanan pastinya pada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam misi mempertahankan Selangor seterusnya kayu pengukur sinergi Kerajaan Perpaduan.

Menarik juga diperhatikan sejauh mana tahap relevan dan kelangsungan UMNO-BN yang mempertaruhkan 12 calon di ne­geri ini.

Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) semakin menunggu peluang berpihak pada mereka dengan gelombang dikatakan makin besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selangor Utara merangkumi Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang dan Kuala Sela­ngor tetap menjadi taruhan de­ngan harapan angin perubahan terus kencang bertiup sehingga ke kawasan lain.

Pengundi kaum Melayu yang mewakili 52 peratus atau 1.9 juta daripada 3.7 juta di Selangor ­terus menjadi sandaran PN selaras ‘wirit’ diungkapkan mereka berulang kali.

Selangor yang ‘paling rapat’ dengan Kerajaan Persekutuan didapati amat kuat menerima tempiasnya termasuk dalam isu kos sara hidup, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), kalimah Allah dan provokasi serta promosi LGBT.

Semua ini juga dimainkan PN dalam kempen dan ceramah mereka selain sentimen anti DAP-UMNO dalam negeri pe­nyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan 25.5 peratus.

Justeru, tumpuan akan juga terarah kepada spektrum politik kira-kira 1.1 juta golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun untuk memihak kepada siapa kali ini di Selangor.

PRN Selangor juga boleh dianggap medan terima kasih atau tidak puas hati terutama dalam perbandingan bantuan keluar daripada bebanan kos sara hidup oleh pimpinan kerajaan Selangor terdahulu dan ‘jasa’ Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memerintah negara.

Menurut Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. A. Aziz Azizam, rakyat pastinya akan menilai penawaran yang dinyatakan oleh parti politik dan prestasi penyampaian mereka di dalam memenuhi janji-janji yang telah mereka nyatakan tersebut.

“Kita masih tidak dapat me­ngagak parti mana yang mendahului. Kedua-dua pihak sama ada PH-BN dan PN kemas di dalam menyusun jentera dan juga strategi perang saraf. Ini menjadikan suasana PRN di Selangor ini amat menarik.

“Ia bergantung kepada tahap keyakinan rakyat dalam kedua-dua pihak memberi justifikasi ke atas isu-isu dan persoalan yang dibangkitkan,” tegasnya.

Jelas beliau, keputusan PRN Selangor khususnya boleh dikatakan bakal menetapkan arah dan strategi seterusnya bagi pihak pembangkang dan juga kerajaan untuk pilihan raya akan datang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN