fbpx

Adriana terima tawaran dua universiti terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADRIANA menunjukkan surat tawaran yang diperolehnya daripada Oxford University dan University Cornell.

GADIS cantik yang juga pelajar cemerlang kelahiran Kuching, Sarawak ini wajar dijadikan contoh dan sumber inspirasi oleh golongan muda.

Diberi nama Adriana Syahmina Karim Mohamad Fuad atau lebih mesra disapa sebagai Adriana, gadis berusia 20 tahun ini merupakan pelajar cemerlang yang meraih 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Adriana merupakan pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan dan penerima Biasiswa Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak.

Lebih membanggakan, pada Disember tahun lalu, Adriana menerima surat tawaran belajar ke University Cornell, Amerika Syarikat (AS).

Kemudian, pada 10 Januari lalu, dia mendapat pula tawaran ke Oxford University, Britain. Menariknya, kedua-duanya merupakan universiti terbaik di dunia.

Menurut Adrina, dia bagaikan tidak percaya apabila diterima untuk meneruskan pengajian dalam jurusan Sains Bumi di kedua-dua universiti berprestij itu.

“Sekarang apa yang saya perlu lakukan adalah belajar bersungguh-sungguh untuk A-Level dan berharap dapat melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga.

“Kalau ikutkan, saya pada awalnya berminat untuk menyambung pengajian dalam jurusan kejuruteraan kimia,” katanya.

Adriana yang juga merupakan pelajar biasiswa Shell Malaysia berkata, selepas setahun mempelajari subjek Matematik Lanjutan A-Level, dia menyedari bahawa perlu mengambil mata pelajaran lain yang diminati.

“Jadi saya tukar dan ambil mata pelajaran Sains Marin.

“Dari situ saya mula minat dan mempelajari subjek Sains Bumi yang lebih memfokuskan kepada Oseanografi,” ujarnya.

ADRIANA (bawah, tengah) merupakan salah seorang penerima biasiswa Shell Malaysia.

Ditanya apakah tip hingga menjadi pelajar cemerlang sebelum ini, Adriana memberitahu, dia sentiasa memberikan ganjaran kepada dirinya apabila berjaya menyiapkan sesuatu tugasan.

“Satu tip yang saya boleh kongsi dan selalu amalkan adalah sentiasa memberi ganjaran kepada diri sendiri apabila tugasan yang diberikan berjaya disiapkan.

“Selalunya saya akan menghargai diri selepas seharian belajar dan menyiapkan tugasan dengan menonton filem atau drama di Netflix terutamanya pada malam hujung minggu,” katanya.

Adriana turut menasihati golongan muda agar tidak mudah berputus asa dalam mencapai impian dan sentiasa meluangkan masa untuk berehat, walaupun dalam kesungguhan belajar.

Katanya, sentiasa ada cabaran yang tidak pernah berkesudahan sewaktu menuntut ilmu.

“Semua ini adalah proses dan sebahagian daripada perkembangan.

“Ia tidak semestinya akan menjadi satu perjalanan yang semuanya indah.

“Apa pun terus berusaha dan jangan sesekali patah semangat.

“Kita tetapkan apa yang kita mahu kejar dan mulakan dengan niat paling ikhlas,” katanya lagi.

Menurut Adriana lagi, setelah menamatkan pengajian kelak, dia mahu kembali ke Sarawak untuk memberi sumbangan kepada negeri kesayangannya itu.

“Meskipun kedengaran agak klise, tetapi tidak mengapa. Itu pilihan saya.

“Saya berniat balas jasa dan budi komuniti setempat. Ini kerana seseorang itu tidak akan berjaya tanpa bantuan orang sekeliling,” katanya yang berkemungkinan besar menyambung pengajian di AS dalam Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepekatan Geologi pada tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI