fbpx

Penggiat seni promosi amalan susu ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acara teater mengenai promosi amalan penyusuan susu ibu dipersembahkan pada Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 'Embracing Breastfeeding Through Arts' di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) meluaskan usaha mempromosikan susu ibu dengan melibatkan pemegang taruh daripada bidang seni di Malaysia menerusi Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, menerusi langkah tersebut, penggiat seni boleh membantu dengan mempelbagaikan kaedah advokasi dan hebahan penyusuan susu ibu serta mencungkil bakat penggiat seni tempatan dalam mengolah amalan penyusuan susu ibu di Malaysia.

“Ia sangat relevan supaya hasil karya daripada penggiat seni seperti aktivis teater, penulis lagu dan lirik kerana mereka mempunyai daya tarikan tersendiri dalam kalangan peminat seni.

“Seterusnya boleh mempengaruhi serta mengupayakan ibu bapa khususnya yang bekerja, remaja, pasangan baharu atau bakal berkahwin serta seluruh masyarakat mengenai kepentingan susu ibu kepada tumbesaran bayi,” katanya berucap menerusi video rakaman maya.

Beliau berucap pada Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia ‘Embracing Breastfeeding Through Arts’ bagi Advokasi Menangani Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-Kanak melalui Amalan Menyusukan Bayi dengan Susu Ibu di Balai Seni Negara di sini, hari ini.

Dr. Zaliha berkata, ini merupakan tahun ke-31 sambutan tersebut dengan kali ini bertemakan ‘Mengupayakan Penyusuan Susu Ibu: Perubahan Bermakna kepada Ibu Bapa Bekerjaya’.

“Tema ini memfokuskan kepada amalan penyusuan susu ibu dan pekerjaan, di mana ia mengupas mengenai kemudahan cuti bekerja, sokongan di tempat kerja serta perspektif ibu bapa bekerjaya dalam usaha menjayakan penyusuan susu ibu.

“Perkara ini menggesa peranan kerajaan, pemegang taruh, majikan, pekerja, komuniti, ibu bapa serta penjaga supaya memastikan persekitaran sekeliling mereka sentiasa menyokong amalan penyusuan susu ibu selari dengan situasi global ke arah pasca pandemik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2022 menunjukkan bahawa (94.9 peratus) ibu di Malaysia pernah menyusukan bayi dengan susu ibu.

Katanya, tinjauan yang sama juga menunjukkan satu dalam dua kanak-kanak bawah dua tahun masih menyusu dengan susu ibu.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Malaysia pada tahun 2016 juga menunjukkan peratusan ibu menyusukan bayi secara eksklusif sehingga bayi berumur enam bulan adalah sebanyak 47.1 peratus, kenaikan hampir empat kali ganda berbanding tahun 2006 iaitu 14.4 peratus dan data ini menunjukkan kenaikan setiap tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI