PETALING JAYA – Kelebihan majoriti jumlah pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini dilihat tidak dapat memberi keselesaan kepada mana-mana gabungan parti yang bertanding.
Ini kerana, pengundi Melayu sudah berpecah kepada lima parti iaitu Barisan Nasional (BN), Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Daripada keseluruhan lima parti terbesar Melayu ini, terdapat dua gabungan besar iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH) melibatkan BN, PKR dan Amanah. Manakala, bagi gabungan Perikatan Nasional (PN) diterajui dua parti Melayu, Pas dan Bersatu.
Penganalisis Sosio-Politik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, perpecahan kepada beberapa parti politik itu menyebabkan kuasa orang Melayu hilang dan tiada pihak dilihat mampu mendominasi keenam-enam negeri terbabit.

Secara umum katanya, gabungan PH-BN masih boleh mendominasi tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala gabungan PN masih menguasai Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Bagaimanapun, jelasnya, peluang PH-BN terutamanya di Terengganu dan Kedah dilihat semakin seimbang dan jika jentera pandai memenangi hati pengundi, gerak kerja berterusan dan semua sayap parti bekerjasama, tidak mustahil beberapa kawasan di kedua-dua negeri bakal dikuasai gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Sebagai contoh di Kedah, terdapat beberapa kawasan terutamanya di Alor Setar dan ke bawah (seperti Sungai Petani) mungkin akan kembali kepada PH-BN selepas ini.
“Hal ini terjadi apabila jentera PH-BN mula mengadakan literasi politik atau pencerahan kepada pengundi di sekitar kawasan terbabit, terutamanya apabila Perdana Menteri sendiri turun padang berjumpa pengundi dan mahasiswa di kawasan itu sebelum ini.
“Begitu juga isu berkaitan unsur nadir bumi (REE) yang kini mendapat tempat kalangan pengundi atas pagar,” katanya kepada Kosmo!
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, literasi politik ini penting terutamanya kepada pengundi atas pagar yang masih ragu-ragu untuk memilih parti gabungan mana.
Turut berpandangan sama adalah Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir yang memaklumkan tiada parti gabungan sama yang dapat menguasai keenam-enam negeri tersebut meskipun ia dikuasai pengundi Melayu.
Katanya, berdasarkan sentimen ketika ini, kebanyakan negeri yang ditadbir parti sebelum ini kekal mentadbir selepas PRN.
Bagaimanapun katanya, jika parti politik pandai mengambil hati pengundi Melayu di kawasan mereka, pasti sokongan itu akan berubah.
“Mereka (calon) perlu pandai mengambil hati pengundi terutamanya orang Melayu. Isu-isu yang dibawa perlulah dekat mereka seperti soal agama, kepentingan orang Melayu termasuk Felda, isu berkaitan institusi raja, sara hidup, inflasi dan sebagainya.
“Jika calon mampu membela mereka dengan isu-isu seperti ini, saya yakin pola pengundi di sesebuah kawasan akan berubah dan tidak mustahil boleh merubah pentadbiran Kerajaan Negeri selepas PRN,” ujarnya.














