fbpx

Mahkamah: Pekerja butik pakaian dalam guna MC palsu didenda RM700

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Farhana (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Shidiqqin Zon.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pekerja wanita sebuah butik pakaian dalam dan produk kecantikan antarabangsa menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu mengundang padah apabila dia didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Noor Farhana Nor Haspilah, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, mahkamah memerintahkan wanita tersebut dipenjara selama dua minggu dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu sijil cuti sakit atas nama tertuduh sendiri yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat beli belah, di Jalan Cheras, Maluri di sini pada 25 Julai lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, peguam, Mohd. Zaidi Othman merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan itu.

“Ketika kejadian, dia yang masih bujang mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat ke tempat kerja, jadi dia mengambil tindakan singkat sehingga menjerumuskannya dalam kes ini. Tertuduh berjanji tidak akan melakukan kesalahan jenayah di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI