fbpx

Mahkamah: Ibu ‘Baby Syifaa’ anggap pengasuh taska menipunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam berbincang dengan keluarga di hari kelapan prosiding inkues Baby Syifaa di perkarangan mahkamah, di sini, hari ini. FOTO/ NOR AINNA HAMZAH

SEREMBAN – Ibu Baby Syifaa, Anida Idrus, 42, memaklumkan kepada Mahkamah Koroner, di sini, hari ini bahawa dia menganggap pengasuh taska menipunya berhubung status premis berkenaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Anida yang merupakan saksi ke-23 menyatakan demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zahida Zakaria sama ada dia mengetahui sama ada pusat asuhan tersebut berdaftar atau sebaliknya,

“Pada 2018, saya tanya berkenaan pendaftaran taska, saya dimaklumkan ia berdaftar. Masa hantar kakak Syifaa, saya nampak sijil adik dia (Nadzirah Ahmad Damanhuri) dipamerkan di ruang taska.

“Saya tahu adik dia ada diploma dalam bidang kanak-kanak. Saya juga dalam bidang sama, sudah pasti saya mahu carikan tempat yang terbaik untuk anak, saya pastikan ia berdaftar jadi saya tanya,” katanya.

Zahida juga bertanya bagaimana Anida yakin bahawa taska berkenaan berdaftar walaupun tidak ditunjukkan sijilnya.

Anida memberitahu, selepas melahirkan Syifaa, dia memberitahu perkara itu kepada pengasuh, Khairulnissa Ahmad Damanhuri, 38, dan bertanya sama ada dia boleh menjaga Syifa.

Menurutnya lagi, Khairulnissa memberitahu dia boleh menjaga Syifa kerana pada ketika itu dia sedang menjaga dua bayi. JKM membenarkan tiga bayi dijaga dalam satu masa untuk mereka yang sebaya Syifaa.

“Itu meyakinkan saya bahawa mereka memang berdaftar. Kalau tidak daftar, buat apa nak ikut sangat kata JKM. Saya anggap dia tipu saya,” katanya.

Anida turut menjawab pertanyaan sama ada dia mempunyai masalah dengan Khairulnissa, dia menjawab bahawa dia tiada masalah dengan pengasuh itu sejak mengenalinya pada 2018.

“Kenal dari 2018 ketika hantar anak pertama ke taska itu dan jaga kakak Syifaa sehingga Disember 2018. Asalnya saya tiada masalah dengan dia, saya tak tahu kalau dia ada masalah dengan saya.

“Hari teacher’s day saya bagi hadiah. Raya saya bagi biskut raya. Pergi pasar malam saya belikan makanan.. Saya lambat saya maklumkan, bayar OT.. Saya tak ada masalah dengan dia,” katanya.

Terdahulu, Anida dilihat sebak ketika menceritakan semula keadaan pada hari kejadian pada permulaan sesi di hadapan Koroner Datin Surita Budin, selain memohon maaf kepada mahkamah sekiranya dia gagal mengawal emosi ketika memberikan kenyataan.

Saat menyentuh emosi di kamar berkenaan juga apabila Anida dilihat menatap baju yang dipakai anaknya ketika kejadian sebelum mendekatkan pakaian itu ke mukanya seolah menunjukkan rasa rindu ketika diminta membuat pengecaman.

Namun, amat mengejutkan apabila Anida memberikan keterangan baju tersebut bukanlah baju yang dipakaikan pada pagi hari kejadian.

“Baju dan seluar yang dia (Baby Syifaa) pakai awal pagi itu ialah sepasang baju hitam Sesame Street, bila kena susu pagi itu, baju saya tukar t-shirt putih belang-belang biru.

“Baju ini memang saya letak bersama-sama baju bersih lain. Biasanya saya ambil petang dia akan pakai baju tidur. Ini bukan baju yang anak saya pakai baju awal pagi,” katanya.

Zahida kemudiannya mengulangi pertanyaan sebagai kepastian terhadap penafian berkenaan.

“Ini baju tidur yang sepatutnya dipakai baju petang. Dari pagi tadi saya konsisten cakap pagi-pagi sata tukar baju anak saya, seluar hitam, baju putih. Saya sendiri surprise bila ini baju yang anak saya pakai,” katanya.

Pada prodising itu, keluarga Syifaa diwakili peguam Gaithri Thomas dan Hafiz Norkhan, manakala peguam pemerhati pihak pengasuh, S. Kavitha dan inkues bersambung pada 29 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI