fbpx

Mahkamah: Bekas penyelia syarikat pelancongan didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fariz (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto M.Firdaus M.Johari

KUALA LUMPUR – Seorang bekas penyelia sebuah syarikat pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 11 pertuduhan meminta dan menerima rasuah iaitu telefon bimbit, kamera serta wang tunai berhubung upah tiket penerbangan mengerjakan umrah empat tahun lalu.

Bagaimanapun Muhammad Fariz Jamaluddin, 35, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta dua buah telefon bimbit masing-masing jenis Samsung Galaxy Z Fold 4 dan Iphone 14 Pro Max yang kedua-duanya berharga RM15,598.

Sementara bagi pertuduhan ketiga hingga ke-11 tertuduh didakwa menerima kedua-dua telefon bimbit tersebut, wang tunai RM110,280, dan satu set lensa kamera bernilai RM6,600.

Tertuduh meminta dan menerima rasuah itu daripada tiga pengarah urusan syarikat pelancongan lain yang mana ia sebagai upah tertuduh membantu mendapatkan 6,051 tiket penerbangan Saudi Airlines bagi urusan jemaah mengerjakan umrah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Wangsa Maju, di sini antara 16 Disember 2019 hingga 7 februari 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM selain tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

“Saksi-saksi pendakwaan dalam kes ini adalah kenalan tertuduh dan tertuduh dilarang berinteraksi dengan saksi-saksi itu,” kata Farah Yasmin.

Bagaimanapun, peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan paling minimum iaitu RM20,000 kerana anak guamnya merupakan duda anak dua yang juga penanggung utama keluarga.

“Sepanjang siasatan dijalankan, tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik terhadap pegawai penyiasat selain tidak pernah ingkar dengan arahan sehingga pendakwaan dibuat yang mana tertuduh datang dan hadir sendiri ke mahkamah,” kata Ridha.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Tertuduh juga perlu melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sekali setiap sebulan sehingga kes selesai dan tertuduh juga perlu menyerahkan pasport ke mahkamah,” kata Hakim Azura.

Tarikh 18 September ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI