MUNGKIN ada dalam kalangan kita pernah ada pengalaman pahit bertemu individu yang berperwatakan baik di depan, namun mengata macam-macam di belakang seolah-olah dia tidak pernah buat dosa.
Orang sebegini disifatkan sebagai individu bermuka-muka yang mana peribahasa Melayu sendiri menggelarnya sebagai talam dua muka. Ia boleh menjadi barah dalam masyarakat.
Justeru, kita perlu berwaspada dengan sikap bermuka-muka seperti ini kerana ia sangat berbahaya. Mereka yang mempunyai sifat sedemikian mudah mendapat kepercayaan, diberi amanah dan akhirnya mengkhianatinya demi kepentingan peribadi.
Berbekalkan mulut yang manis, biasanya mereka tiada perasaan malu dan mendekati kita dengan harapan menarik perhatian dan mendapat kepercayaan dalam banyak hal, malahan ada yang menjadi rakan karib sebelum bertindak menikam dari belakang dalam diam.
Seorang rakan penulis bercerita, dia pernah mengenali dan terkena dengan tindak tanduk spesies toksik dan tidak tahu malu beberapa tahun lalu.
Dia tidak menyangka individu terbabit boleh bersikap demikian kerana pada pengamatannya, seorang yang baik budi pekerti dengan tutur kata lemah lembut dan tidak pernah menyakiti hati sesiapa secara berdepan.
Namun tembelang individu tersebut pecah selepas rakan penulis dipulaukan teman sekerja tanpa sebab. Kata rakan penulis, dia mendapat tahu individu itu selama ini menjaja cerita buruk tentang dirinya yang tidak benar.
Pada mulanya, dia tidak mempercayainya, namun selepas bertanyakan sendiri kepada empunya diri dan seperti diduga pada mulanya dia tidak mengaku perbuatan tersebut.
Setelah diasak, akhirnya individu tersebut mengakui melakukan semua itu kerana cemburu dengan kejayaan yang dicapainya.
Beginilah buruk dan dahsyatnya perangai orang yang sering bermuka-muka dalam hidup. Bukan sahaja menyusahkan kawan-kawan, malah mencari musuh dalam jangka masa panjang.
Tanpa disedari, lama-kelamaan sikap buruknya itu pasti ‘pecah’ jua dan orang ramai termasuk kawan-kawan akan menjauhkan diri dan akan tinggal keseorangan menjadi kera sumbang.
Biasanya orang sebegini berperangai cukup baik dengan pihak lain, namun berkata buruk dengan pihak lain, selain mereka cerita yang tidak ada.
Antara tujuannya ingin melihat orang lain bergaduh dengan bertindak melaga-lagakan antara dua pihak yang berkepentingan.
Untuk mengenali orang yang suka bermuka-muka atau bersifat talam dua muka tidaklah susah, antaranya semasa berbual atau berkawan, individu tersebut sibuk bercerita tentang keburukan orang lain.
Selain itu, kita juga perlu berhati-hati dengan orang yang sering menceritakan tentang kelebihan yang dimiliki atau kehebatan ahli keluarganya kerana ia merupakan salah satu ciri si talam dua muka.
Orang yang menjadi talam dua muka sebenarnya seperti sesumpah yang boleh menukar warna mengikut keadaan dan memberi kelebihan kepada kepentingan diri sendiri. Berhati-hatilah.














