GAMBAR HIASAN

Graduan kerja luar bandar gaji bawah RM1,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Graduan yang tinggal di luar bandar sukar untuk mencari kerja bersesuaian dengan kelayakan dimiliki dan menerima gaji yang tinggi berikutan keba­nyakan majikan hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, rata-rata majikan itu beroperasi dengan empat pekerja dan ada yang kurang da­ripada jumlah berkenaan.

“Kerja-kerja yang ada di pekan-pekan kecil di luar bandar sememangnya tidak sepadan de­ngan kelulusan dimiliki graduan.

“Kerja yang wujud di kawasan-kawasan berkenaan majoritinya adalah bidang perkeranian dan bukan eksekutif, malah gaji rendah dengan kebanyakan majikan tidak mampu mematuhi kadar gaji minimum RM1,500,” katanya kepada Kosmo!.

Pada masa sama, Syed Hussain berkata, faktor utama pencari kerja di luar bandar untuk menerima jawatan serta gaji le­bih rendah daripada tahap kelulusan ­masing-masing adalah mahu bersama keluarga.

Katanya, selain itu tempat tinggal dan kos sara hidup di bandar yang tinggi.

“Ini semua adalah atas dasar pilihan peribadi yang dibuat secara sukarela,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau percaya bahawa graduan yang memutuskan untuk tinggal di luar bandar peka dengan keadaan sekeliling terutamanya dari segi kedudukan jawatan dan upah yang bakal diterima.

“Memiliki diploma atau ijazah tidak menjamin peluang mereka memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan dan gaji tinggi. Kelulusan tinggi terutamanya akademik kurang kebolehpasaran dan ramai yang masih menganggur.

“Keadaan pasaran buruh yang agak sukar di peringkat pengurusan menyebabkan jumlah graduan dan siswazah menganggur masih tinggi selain ramai terpaksa menceburi pekerjaan yang tiada kaitan dengan bidang pe­ngajian, sekali gus menerima gaji rendah,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan seramai 15,460 graduan daripada jumlah keseluruhan pencari pekerjaan melalui sistem MYFutureJobs hanya diberikan gaji di bawah RM2,000 sebulan.

Berita berkaitan: 42 peratus graduan dapat kerja tidak sepadan, gaji bawah RM2,000

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN