fbpx

Sistem perolehan aset pertahanan perlu dirombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sistem perolehan aset pertahanan negara dirombak supaya ia lebih telus dan mengelak daripada penyelewengan.

Ini kerana kata Anwar, sistem perolehan aset pertahanan negara tidak lagi boleh diuruskan oleh pihak luar dan ia perlu diputuskan sendiri oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jelasnya, ia perlu dilakukan segera kerana kebanyakan aset pertahanan dalam keadaan kekurangan dan sangat daif.

“Jadi saya anjurankan kepada pemimpin tentera supaya sistem perolehan mesti dirombak, tidak boleh lagi campur tangan dari pihak luar.

“Ketua Turus (ATM) dipertanggungjawabkan pilih yang terbaik. Kapal perang, pesawat, ‘tank’ dan kelengkapan lain mesti yang terbaik, tidak perlu lagi mengulangi karenah terdahulu merompak melalui komisyen keterlaluan sehingga kelengkapan kita ini kurang daripada keupayaan untuk menjadi medan pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM di sini hari ini.

Tambah Anwar, beliau juga telah berjumpa dengan Panglima Angkatan Tentera dan ketua turus laut, udara dan darat bersama menteri untuk menyelesaikan isu pertahanan negara itu.

Jelasnya, ketika ini, kesiapsiagaan dan kelengkapan tidak sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan kedudukan geopolitik negara.

“Kapal, pesawat, ‘tank’ bukan sahaja dianggap kekurangan, malah ia juga dalam keadaan sangat daif,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan akan mengangkat agenda skim veteran berpencen dan tidak berpencen pada mesyuarat pertama skim perkhidmatan dan persaraan yang akan diadakan Isnin depan.

Beliau berkata, perkara itu tidak pernah dimasukkan dalam kajian semula skim perkhidmatan dan persaraan sebelum ini.

“Buat pertama kali juga kita akan bincangkan isu veteran tidak berpencen. Jadi saya fikir nanti akan ada penyelesaian bantuan-bantuan off serta melihat semula kebajikan golongan anggota keselamatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI