PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim terus menjadi lambang penyatuan negara serta payung kepada kestabilan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara terus melangkah dengan penuh tertib dan keyakinan di bawah naungan baginda selain Kerajaan Madani kekal teguh hasil kesetiaan serta perpaduan rakyat.
Menurutnya, muafakat yang diwarisi daripada pejuang kemerdekaan telah melahirkan Perlembagaan yang meletakkan institusi raja sebagai pemelihara agama Islam serta menjamin keadilan dan kesaksamaan rakyat.
“Di bawah naungan Tuanku juga, usaha diteruskan untuk mematangkan proses demokrasi dan memperkukuh negara hukum.
“Sejak awal pemerintahan, Tuanku turut menekankan kepentingan tatakelola yang baik serta usaha memerangi pemunggahan kekayaan kepada kelompok kecil,” katanya dalam ucapan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan bertekad melaksanakan dasar yang saksama bagi memastikan pengagihan kekayaan negara dapat dinikmati semua negeri dan wilayah termasuk golongan miskin serta terpinggir.
Dalam pada itu, katanya, rakyat kini berdepan pelbagai cabaran global termasuk ketidaktentuan ekonomi dunia, perubahan iklim, perkembangan teknologi kecerdasan buatan dan dinamika geopolitik yang semakin kompleks.
Jelas beliau, kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan beban rakyat termasuk pelaksanaan penjimatan berhemah, penyasaran subsidi RON95 dan inisiatif Budi Madani.
Menurutnya, ekonomi negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila pelaburan domestik dan asing meningkat, kadar pengangguran kekal rendah serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia semakin kukuh.
Tambah beliau, reformasi fiskal, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana serta agenda transformasi digital turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti khususnya kepada golongan muda.
Katanya, program bantuan bersasar, pengukuhan jaringan keselamatan sosial serta penambahbaikan kemudahan kesihatan dan pendidikan akan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat.
Anwar turut menjunjung kasih atas pemerintahan Sultan Ibrahim yang disifatkan bijaksana dan sentiasa menjadi lambang keluhuran serta penyatuan negara.
“Seluruh rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda serta memperkukuh azam demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta,” katanya. – KOSMO! ONLINE














