fbpx

Penganggur ditahan baling batu ke arah Pejabat Agung Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kaca dinding di Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut pecah menjelang hari penamaan calon PRN, kelmarin. - Facebok Pas Pusat

KUALA LUMPUR – Hanya kerana tidak suka pada parti Pas, seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit perbuatan khianat ke atas Pejabat Agung parti berkenaan di Jalan Raja Laut, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung seorang individu tempatan membaling batu ke pejabat itu sekitar pukul 8.39 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat, suspek yang juga penganggur berusia 36 tahun berjaya ditangkap di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit, di sini, sekitar pukul 10 malam tadi.

“Dia (suspek) mengaku dia yang melontar batu ke Pejabat Pas tempoh hari. Suspek turut mempunyai sembilan rekod lampau berkait dadah dan tujuh rekod jenayah.

“Bila ditanya mengapa bertindak demikian, suspek memaklumkan kerana tidak suka Pas,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily memaklumkan kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat.

Terdahulu, Pas membuat laporan polis selepas dinding kaca salah sebuah pejabat parti itu di ibu negara, dipecahkan oleh suspek sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan akan dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) akan dilakukan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.

Menurut beliau, dalam kejadian itu, seorang lelaki yang menaiki motosikal telah membuat bising dan situasi itu dilihat oleh pengawal di bangunan tersebut sebelum bertindak membaling batu ke cermin pintu Pejabat Agung Pas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI