fbpx

Hadiah jaket kepada bapa sebelum jatuh Tasik Kenyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMAN (kiri) menunjukkan jaket keselamatan yang dihadiahkan Mohd. Faisal sebelum anaknya itu hilang akibat terjatuh ke dalam Tasik Kenyir di Kampung Pasir Dula, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Pemandu bot laju yang masih hilang akibat terjatuh ke dalam Tasik Kenyir di sini pada Jumaat lalu, sempat menghadiahkan bapanya sehelai jaket keselamatan sehari sebelum kejadian.

Draman Tun Rahim, 66, berkata, pada mulanya dia pelik motif hadiah diberikan Mohd. Faisal, 42, yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu.

“Rasanya jaket keselamatan yang diberi pada petang Khamis itu merupakan pakaian kerja­nya sebagai pemandu bot laju di ­Tasik Kenyir.

“Dia (Mohd. Faisal) membawa pelancong melawat destinasi pelancongan tersebut dengan menaiki bot laju sejak 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Dula di sini semalam.

Jumaat lalu, Mohd. Faisal dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat kemalangan melibatkan dua bot laju di Sungai Pertang berhampiran Santuari Kelah, Tasik Kenyir dekat sini.

Kejadian pada pukul 11.05 pagi itu berlaku selepas dua bot laju termasuk dengan satu daripadanya dikendali Mohd. Faisal bertembung di lokasi kejadian.

Draman berkata, sebelum keluar bekerja pada malam Khamis lalu, Mohd. Faisal sempat menikmati makan malam berlaukkan ikan goreng bercicahkan budu yang dimasaknya.

Katanya, berita kemalangan menimpa anak sulungnya amat mengejutkan dan dia telah meminta beberapa adik mangsa menunggu di lokasi kejadian bagi mengetahui perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat.

“Saya tidak dapat ikut serta kerana perlu menjaga isteri, Mat Kassim, 64, yang terlantar akibat angin ahmar.

“Lagi pun lokasi kejadian terletak jauh ke dalam.

“Saya tidak henti berdoa agar anak sulung saya segera dijumpai walaupun apa keadaannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohamad berkata, seramai 76 anggota pelbagai agensi dan orang awam terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat Mohd. Faisal.

“Pencarian mangsa yang ma­suk hari ketiga hari ini (semalam) menggunakan teknik selaman di lokasi kejadian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI