GEORGE TOWN – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 16 sebuah kondominium di Tanjung Tokong di sini, semalam.
Mayat mangsa warga tempatan itu dijumpai terbaring dan berlumuran darah oleh orang awam di tingkat lapan perumahan itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 6.45 petang.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati si mati dipercayai terjatuh dari rumahnya di tingkat 16 dalam kejadian pada pukul 5.49 petang semalam dan disahkan maut di tempat kejadian.
“Siasatan dan pemeriksaan terhadap badan si mati mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini,” ujarnya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, mayat remaja tersebut kemudiannya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Satu Laporan Mati Mengejut (LMM) dibuka bagi menjalankan siasatan terhadap kes tersebut,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














