fbpx

Sanusi enggan layan persoalan ahli politik di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah bagi Tahun Kewangan 2022 dan 2023 di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau tidak perlu menjawab persoalan dikemukakan ahli politik menerusi media sosial kerana golongan tersebut bukan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap isu yang timbul.

Menurut beliau, ahli politik terlibat sengaja ‘bermain-main’ sedangkan mereka sudah memiliki jawapan terhadap persoalan dikemukakan termasuk mengenai status dua warga China yang dikaitkan dengan kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

“Ini satu perbuatan yang tidak munasabah dan saja nak main-main. Apabila kita perhatikan semula semua operasi dijalankan ini, semakin hari semakin jelas ia telah dipolitikkan walaupun siasatan dijalankan oleh agensi penguat kuasa kerajaan.

“Benda ini boleh disiasat lama dulu atau kemudian tetapi ‘ditekan’ untuk dibuat masa ini untuk memberi gambaran tertentu demi kepentingan politik,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Bagi Tahun Kewangan 2022 dan 2023 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan mahu mengetahui daripada Muhammad Sanusi sendiri mengenai keberadaan dua warga China yang ditawarkan bekerja dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan mempunyai kaitan dengan projek REE.

Ia memandangkan kedua-dua mereka dipercayai masuk ke negara ini setelah Muhammad Sanusi menulis surat sokongan kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Muhammad Sanusi mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai status dua warga China tersebut menyebabkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mempertikaikan jawapan berkenaan kerana yakin Muhammad Sanusi sentiasa diberi taklimat mengenai projek dijalankan MBI.

Tambah Muhammad Sanusi, tugas untuk mengimport pekerja dari China bukanlah kerja seorang Menteri Besar dengan beliau sendiri banyak kerja lain yang perlu diselesaikan melibatkan pentadbiran negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI