HANYA tangisan menjadi saksi betapa tergamam dan sebak menyelubungi rasa si wanita gila-gila bernama Elly Mazlein tatkala diumumkan sebagai Pengacara TV Popular, anugerah terbesar dalam hidupnya.
Lebih 20 tahun menanti detik keramat, malam kelmarin nyata mencetuskan momen indah buat Elly selepas pernah membolosi edisi ke-33 Anugerah Bintang Popular (ABP) dengan empat kategori.
Aturan Tuhan ternyata cantik. Kekecewaan tiga tahun lalu berbalas pada edisi ke-35 ABP yang berlangsung di Istana Budaya pada Jumaat lalu sebaik trofi idaman berada dalam gengaman.
“Alhamdulillah selepas lebih dua dekad saya menjadi anak seni, ini adalah anugerah pertama buat saya. Detik ini memang saya tunggu dan tak sangka akhirnya peminat nampak bakat saya.
“Terima kasih kepada orang ramai yang bersusah payah mengundi, malah saya banyak terbaca komen yang bersimpati dengan nasib saya kerana tidak menerima sebarang trofi sebelum ini,” kata Elly yang bergelar penyanyi sejak 1997 itu.

Pada ABP35 malam kelmarin, pemilik nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu mengenepikan empat finalis lain yang tidak kurang hebat Alif Satar, Hawa Rizwana, Sherry Alhadad dan Janna Nick.
Luah si pengacara dengan jolokan Kak Lina Pom Pom itu lagi, persaingan menjadi siapa paling popular dalam kalangan rakan-rakan baik juga satu situasi sihat apabila masing-masing saling memberikan sokongan.
“Semua ini satu persaingan hebat dan sihat kerana paling istimewa mereka berempat juga kawan baik yang sama-sama merasai suka duka berada dalam arena serba mencabar ini.
“Tidak kira siapa pun yang bawa pulang trofi, kemenangan ini adalah hadiah untuk semua bukan saja peminat, malah semua teman seperjuangan,” ulasnya.
Diusik sama ada gelaran diperoleh bakal memberi kesan terhadap bayaran kerjanya, sambil tertawa personaliti peramah itu menyatakan segala-galanya masih seperti biasa.
Bagi Elly, pertimbangan wajar berkaitan kadar harga ditetapkan dibuat terutama membabitkan kerja pengacaraan majlis atau program televisyen, yang penting semuanya harus berpada-pada.

Bunuh karier
Dia sentiasa mengingatkan diri supaya sedar dan beringat bahawa industri hiburan tempatan bukan sebesar di luar negara.
“Kita kena tahu arena seni di Malaysia agak kecil dan tidak seperti industri seni Hollywood, namun bayaran kena setimpal dengan apa yang saya buat.
“Di sini kita tak boleh letak harga yang terlalu tinggi kerana kita perlu sedar bahawa industri kita tidak sebesar mana.
“Saya tak mahu bunuh karier dengan ‘tarik’ harga. Kalau letak terlalu tinggi, mungkin orang akan jemput sekali sahaja,” tambahnya yang turut menyerlah dalam dunia lawak.
Tiga tahun lalu Elly diundi sebagai finalis bagi kategori Pengacara TV Popular, Artis Versatil, Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama bersama Rashidi Ishak menerusi naskhah Kampung People.
Menurut Elly, kemenangan menggenggam trofi paling popular juga bukti kepercayaan khalayak terhadap hasil kerjanya.
“Sebelum ini saya kerap cakap sudah tercalon Top 5 pun rasa sudah menang kerana berada pada tahap tersebut juga menandakan keyakinan khalayak terhadap kemampuan kita.
“Apabila diundi sebagai pemenang pula satu bonus. Perasaan ini ini tidak mungkin dapat saya kecapi andai tiada sokongan peminat serta keluarga terutama ayah dan tidak ketinggalan suami.
“Terima kasih tak terhingga buat peminat yang mengundi saya. Semoga Allah permudahkan urusan anda semua.
“Saya tak mahu harapkan apa-apa. Orang nampak hasil kerja saya selama ini pun saya sudah cukup bersyukur,” katanya.

Tiada strategi
Hakikatnya, Elly yang mencuri tumpuan selepas menyertai musim ketiga pertandingan nyanyian popular, Gegar Vaganza (GV) pada 2016 tidaklah mempunyai strategi khusus untuk membolehkan trofi impian berada dalam genggamannya.
“Memang saya tak punya strategi tertentu untuk bolos Top 5, sebaliknya cuma ada peminat yang sanggup mengundi tanda kasih sayang mereka, ini paling mengharukan,” tambah ibu kepada dua cahaya mata itu.
Biarpun tidak sampai ke final, impak GV membawa Elly menjadi penyampai trofi pada Anugerah Skrin (ASK) bersama Shuk Sahar pada 2019 sehingga menarik perhatian ramai dan akhirnya dilamar mengendalikan majlis anugerah ABP32 bersama Datuk AC Mizal.
Sejak daripada situ, Elly terus menjadi rebutan stesen televisyen bagi mengendalikan aneka program, terutama selepas menggantikan tempat Neelofa mengendalikan MeleTOP, selain mengambil alih tugas Jihan Muse selaku hos GV.
Terbaharu, pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu turut menyerlah sepanjang mengacarakan program Big Stage musim kelima bersama pengacara dari Indonesia, Rina Nose.

terima kasih kepada peminat tidak lekang di bibir Elly. Baginya, tanpa insan hebat sebagai penyokong, tidak mungkin dia berada pada tahap sekarang.














