fbpx

Dijemput Ilahi selepas beri ceramah subuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUSTAFA meninggal dunia tidak lama selepas memberikan ceramah subuh sempena sambutan Maal Hijrah di Mashid At-Taqwa Taman Utama Pulai, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ), Mustafa Omar, meninggal dunia tidak lama selepas memberi ceramah subuh sempena Sambutan Maal Hijrah di Masjid At-Taqwa Taman Utama Pulai, di sini, semalam.

Difahamkan, kakitangan awam berusia 51 tahun itu meninggal akibat serangan jantung, pada pukul 9 pagi.

Selepas selesai memberi ceramah subuh berkenaan, beliau dilaporkan mengalami masalah sesak nafas sebelum terus pulang ke rumah.

Pengarah JAINJ, Jamaludin A. Hamid memberitahu, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, Muar.

“Allahyarham merupakan seorang individu yang mempunyai keperibadian yang mulia, beliau sudah berkhidmat dalam jabatan ini sejak tahun 1997 lagi.

“Allahyarham seorang yang berilmu tinggi dan berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal sejak kira-kira enam tahun lalu. Beliau memang mahir dalam bidangnya,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Ceramah subuh sempena Sambutan Maal Hijrah di Masjid At-Taqwa Taman Utama Pulai yang disampaikan Allahyarham turut disiarkan secara langsung melalui akaun media sosial rasmi Facebook masjid itu.

Dalam ceramahnya, Allahyarham sempat mengingatkan masyarakat tentang ajal setiap individu yang pasti akan berlaku, sekaligus beliau mengajak manusia untuk meningkatkan amal ibadah sebagai persediaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI