fbpx

Saya faham Yang Arif, mengaku tidak bersalah – Muhammad Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (baju putih) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh FARIZ ROSADIO/KOSMO! 

SELAYANG – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menghasut dalam satu ceramah di sini minggu lalu.

Muhammad Sanusi, 48, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd. Shalleh.

“Saya faham yang Arif, mengaku tidak bersalah Yang Arif”, kata Muhammad Sanusi selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan kedua-dua pertuduhan itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Kesalahan itu dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara di sini pukul 11 malam pada 11 Julai lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Muhammad Sanusi didakwa mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh manakala peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud bertindak sebagai peguam Muhammad Sanusi.

Kedua-dua mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu dengan dua penjamin yang berlainan dan tertuduh tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Turut hadir semasa prosiding, Ahli Parlimen Jerlun, Dr. Abd. Ghani Ahmad, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Solahuddin Hashim.

Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan berkenaan kes itu, dijangka mengambil masa selama tujuh hari.

Menurut Razarudin, siasatan berkaitan 3R berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, media turut melaporkan terdapat video tular yang memaparkan Sanusi ketika menyampaikan politik didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari, sebagai Menteri Besar Selangor.

Semalan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yang bertindak membuat satu laporan polis berhubung isu menghina institusi Diraja Selangor.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, laporan dibuat pada 14 Julai lalu itu adalah susulan kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu ceramahnya.

Katanya, kenyataan itu dianggap menghina dan mempertikaikan kewibawaan institusi Diraja Selangor berhubung pemilihan jawatan Datuk Menteri Besar Selangor.

Sultan Sharafuddin juga amat berbesar hati di atas sokongan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor serta semua pihak yang berkaitan,” jelasnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Ahli Dewan DiRaja Selangor menuntut Muhammad Sanusi segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Gesaan itu dibuat lima ahlinya iaitu, Tan Sri Ambrin Buang; Datuk Emran Kadir; Datuk Mohammad Adzib Mohd. Isa; Tan Sri Mohd. Zawawi Saleh dan Datuk Seri Mohammed Khusrin Munawi selepas tampil membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini, kira-kira pukul 3 petang pada 14 Julai lalu.

Emran menegaskan, Sultan Selangor boleh melantik sesiapa sahaja menjadi Menteri Besar asalkan pemimpin itu mendapat majoriti tertinggi undi dan mengikuti Perlembagaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI