fbpx

Kemurungan disyaki punca ibu ‘buang’ anak 11 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak perempuan 11 tahun didakwa 'dibuang' oleh ibunya selepas wanita itu berkahwin suami baharu.

JOHOR BAHRU – Seorang ibu yang mempunyai masalah kemurungan enggan lagi menjaga anak perempuan kandungnya yang berusia 11 tahun dan melepaskan kanak-kanak itu dengan rela hati.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mendapat laporan berhubung perkara itu pada pukul 8 malam, Sabtu lalu.

Menurut beliau, laporan dibuat seorang guru sebuah taska di kawasan Taman Scientex, Pasir Gudang.

“Pengadu iaitu seorang wanita berusia 42 tahun membuat laporan bahawa kanak-kanak tersebut berjalan sendiri ke taska berkenaan dan memaklumkan ibunya enggan menjaga dirinya lagi, laporan bertujuan untuk menghantar kanak-kanak tersebut ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sehari selepas itu, ibu kanak-kanak tersebut yang berusia 38 tahun pula tampil membuat laporan polis mengatakan dia dengan rela hati menyerahkan kanak-kanak berkenaan kepada pihak taska berkenaan dan tidak dapat menjaganya atas kekangan hidup,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sohaimi, siasatan dijalankan mendapati ibu kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah kemurungan dan sedang mendapatkan rawatan bulanan di Hospital Permai, dekat sini.

“Kita juga dapati tiada sebarang elemen pengabaian, penderaan atau gangguan seksual terhadap kanak-kanak berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai rujuk lain-lain agensi iaitu JKM dan kanak-kanak itu kini berada di Pusat Jagaan Kanak-kanak di Johor Bahru,” ujarnya.

Terdahulu, polis mengesan satu hantaran media sosial di Twitter mendakwa seorang ibu telah membuang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu kerana dikatakan sudah berkahwin baharu.

Sehubungan itu, Mohd. Sohaimi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI