fbpx

Kekasih didakwa bunuh anak, ibu nafi abaikan mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Firman diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan membunuh anak kekasihnya, dua minggu lalu. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak kekasihnya berusia tiga tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, bagaimanapun hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.

Kesalahan itu dilakukan sebuah rumah bernombor di Jalan PE 15, Taman Paya Emas, Cheng dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, 6 Julai lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Hanif Hassan.

Hanif dalam hujahnya memberitahu pihaknya akan mengeluarkan satu surat kepada pihak pendakwaan bagi permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan mental susulan perkara itu telahpun dibangkitkan semasa dalam tempoh tahanan reman.

Sharda kemudian menetapkan tarikh 23 Ogos sebagai sebutan semula kes sementara menunggu bedah siasat.

Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, kekasihnya, Nurasyiqin Syaqiqah A. Ramlee, 24, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam bagi pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan, iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak sama telah didapati melakukan pengabaian terhadap mangsa.

Nurasyiqin didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

Tertuduh didapati mendedahkan anak kandungnya itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi dengan membenarkannya dianiaya dengan menyerahkannya kepada Muhammad Firman.

Perbuatan itu dilakukan di tempat, tarikh, masa dan sama. Sabit kesalahan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan, manakala Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya kini menanggung ibu yang tidak sihat dan bersetuju dengan apa-apa syarat tambahan dikenakan.

Selepas mendengar rayuan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri sekali pada setiap 1 hari bulan sebelum pukul 1 tengah hari dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 Ogos depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI