fbpx

Riana nafi khurafat, amalkan ilmu hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Riana menafikan tuduhan sebilangan pihak mengatakan dirinya mengamalkan ilmu hitam.

KUALA LUMPUR – Pakar ilusi terkenal dunia, Riana menafikan segelintir pihak yang mendakwa dirinya mengamalkan ilmu hitam atau elemen berunsur khurafat dalam setiap persembahannya.

Kata pemilik nama penuh Marie Antoinette Riana Graharani itu, dia sememangnya memiliki keistimewaan melihat ‘sesuatu’ yang tidak boleh dilihat orang lain dengan mata kasar.

“Ketakutan adalah daripada perasaan dan fikiran individu itu sendiri.

“Saya hanya mengajak bermain dengan mereka yang mungkin tidak boleh kalian lihat,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar Riana The Sacred Conjuring Live In Kuala Lumpur, di sini semalam.

Dalam pada itu, Riana juga meminta orang ramai hadir dalam keadaan bersedia mental untuk ‘bermain’ bersama pada acara yang berlangsung hari ini.

“Hadir pada hari tersebut dengan membawa objek kecil yang boleh digenggam serta pernah dimiliki oleh seseorang yang sudah meninggal dunia.

“Tiada amaran kepada mereka yang hadir dan harus diingatkan, dalam setiap persembahan saya sebelum ini memang ada penonton yang pengsan,” ujarnya.

Berkongsi mengenai boneka bernama Riani yang sering menemaninya dalam setiap persembahan, Riana memberitahu anak patung tersebut sudah dianggap seperti sahabat baiknya.

“Saya selalu berkomunikasi dan bermain dengan Riani.

“Riani sudah seperti pelindung saya kerana kami sudah berkawan sejak kecil,” jelasnya yang meminati filem seram Jepun, Ju-On.

Riana merupakan pemenang rancangan realiti, Asia’s Got Talent 2017.

Sejak kemenangan tersebut, dia menerima pelbagai jemputan persembahan di seluruh dunia dan bakal mengadakan jelajah di beberapa buah negara lain seperti Amerika Syarikat, Rusia dan Jerman.

Sementara itu, acara anjuran Mediaberg yang bakal berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) esok akan turut menampilkan persembahan istimewa daripada pemain violin terkenal, Katrin Romanova dan ahli silap mata, Yihnmg. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI