PETALING JAYA – Dunia permotoran yang sebelum ini sinonim dengan lelaki kini mula diminati kaum wanita sehingga mencetuskan hobi baharu dalam kalangan golongan muda.
Malah, minat yang terlalu mendalam kepada dunia permotoran menyebabkan golongan ini sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan motosikal berkuasa tinggi berbanding motosikal kapcai.
Bagi Nuralizatul Syahira Ali, 26, yang memiliki motosikal BMW S1000RR, kehidupannya sebagai wanita berpurdah memberi sedikit cabaran untuk dia melibatkan diri dalam dunia permotoran sehingga sering menerima kecaman.
“Saya pernah tular di TikTok, orang persoal kenapa wanita berpurdah macam saya ini tidak duduk di masjid atau buat aktiviti keagamaan. Bagi saya, yang penting pandai jaga diri.
“Bawa motosikal memberi kepuasan yang sangat berbeza. Ia juga mengajar saya untuk jadi lebih berdikari dan berani.
“Saya tengok ramai kawan-kawan usia 20-an minat dengan motosikal besar. Namun, ada yang memang bermula dengan motosikal biasa dan kemudian buat simpanan untuk beli motosikal berkuasa tinggi,” katanya.
Wanita berketinggian 152 sentimeter ini berkata, dia membelanjakan hampir RM4,000 untuk servis, penyelenggaraan dan bayaran ansuran.
“Setiap bulan bayaran ansuran adalah sebanyak RM1,500. Servis dan penyelenggaraan bergantung pada jarak tempoh. Seperti baru-baru ini, saya tukar sepasang tayar berharga RM1,200. Dalam empat bulan sekali saya akan servis dan membelanjakan kira-kira RM450,” jelasnya.
Seorang lagi peminat motosikal berkuasa tinggi, Nur Syahirah Mohd. Faizal, 24, nekad mengumpul duit sejak dua tahun lalu untuk membeli motosikal idaman jenis Yamaha MT-07.
Dengan hanya berniaga buah-buahan dan makanan di sekitar Petaling Jaya, anak kelahiran Kajang, Selangor ini sanggup menyimpan 80 peratus daripada gajinya untuk membeli motosikal tersebut.
“Impian saya tercapai apabila akhirnya berjaya membeli motosikal idaman pada harga lebih RM70,000 secara tunai pada September tahun lalu menggunakan wang simpanannya.
“Minat dalam dunia permotoran memang sudah lama dan sebab itu saya nekad menyimpan duit untuk membeli sebuah motosikal.
“Reaksi keluarga pula ketika itu terkejut dan pada mulanya mereka menghalang sebab saya perempuan. Mereka risau dengan keselamatan saya. Jadi saya beli motosikal enjin 700cc dulu sebelum menjual dan naik taraf ke 1000cc pula,” katanya.
Tambahnya, kira-kira RM1,500 setiap tahun dibelanjakan untuk servis dan penyelenggaran tidak termasuk aksesori tambahan pada motosikalnya.
Walau bagaimanapun, jelas Nur Syahirah, dia berasa puas hati dan gembira kerana dapat menikmati hasil titik peluhnya sendiri untuk mendapatkan motosikal idamannya.
Seorang lagi pemilik motosikal berkuasa tinggi jenis KTM RC390, Nurul Jannah Salleh, 25, berkata, membawa kenderaan roda dua itu memudahkannya untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Nurul Jannah yang bekerja sebagai juruservis di sebuah syarikat penapis air di Kuala Lumpur, berkata, selain sukakan kelajuan, dia juga minat mendengar bunyi enjin motosikal tersebut yang lain daripada motosikal ‘kapcai’ biasa.
“Bukan tidak mahu beli kereta, tetapi dari dulu keluarga saya memang sudah biasa naik motosikal untuk kemana-mana. Jalan sesak macam mana pun mesti boleh sampai. Sebelum penubuhan KTM Ladies
Crew lagi saya sudah sertai kelab itu untuk pergi konvoi.
“Walaupun pernah kemalangan sampai tidak boleh jalan selama seminggu pada Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu, saya tidak serik. Sebab bagi saya, ia menjadikan saya lebih cekap,” katanya.
















