fbpx

Jangan biarkan anak miskin terlepas masuk U

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Semalam, hampir 145,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mula mendapat khabar gembira setelah masing-masing mula mendapat status mengenai tempat untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Peluang menyambung pengajian ke IPTA ini pastinya jarang akan dilepaskan lebih-lebih lagi tempat serta kursus yang ditawarkan itu memang menjadi impian sejak sekian lama dan menjadi rebutan ramai.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, jangan kita lupa atau terlepas pandang terhadap anak-anak pandai khususnya dalam kalangan keluarga kurang mampu yang mungkin gusar untuk meneruskan niat mereka melanjutkan pengajian lantaran kemelut kewangan dihadapi keluarga.

Benar, kita mungkin akan menyatakan bahawa terdapat pelbagai bantuan disediakan untuk membantu golongan tersebut, tetapi kebiasaannya keluarga yang dihimpit kesulitan ini tidak menyedari tentang adanya bantuan-bantuan tersebut selain mereka sendiri mungkin malu untuk meminta-minta.

Penulis terkenang tentang satu peristiwa sewaktu menuntut di universiti hampir 30 tahun yang lalu. Ketika itu penulis ditugaskan untuk membantu melancarkan kemasukan dan pendaftaran pelajar baharu.

Pada sebelah petangnya, datang seorang lelaki tua dengan pakaiannya jelas menunjukkan dia bukan daripada golongan orang yang senang sambil memegang sepucuk surat tawaran kemasukan ke universiti di tangannya. Nampak pada raut wajahnya kelihatan seperti amat keletihan dan ingin meminta pertolongan tetapi tidak tahu kepada siapa harus dia pinta.

Saya mendekatinya dan memberi salam, “Assalamulaikum pak cik. Nak daftar anak ke? Mana anaknya,” tanya saya.

“Pak cik sebenarnya nak tanya. Anak pak cik dapat tawaran masuk universiti ni tapi dia tak nak datang sebab pak cik orang susah. Pak cik nak dia belajar, macam mana pak cik nak buat,” katanya dengan nada seperti sangat kecewa sambil menghulurkan surat tawaran kemasukan universiti anaknya.

Setelah diselidiki, saya amat terkejut dengan kesungguhan pak cik tersebut yang sanggup datang seorang diri dengan duit di poket hanya cukup untuk tambang bas dari sebuah negeri di utara tanah air demi untuk melihat anaknya meneruskan pengajian.

Ringkasnya anak lelaki tua itu dapat meneruskan pengajian dengan bantuan pihak universiti pada waktu itu. Namun, cuba bayangkan jika orang tua itu tidak datang ke universiti dan meluahkan masalahnya, mungkin anaknya tidak akan sampai ke universiti kerana tiada siapa pun tahu kesulitan yang dihadapinya.

Persoalannya, apakah situasi itu sudah tidak berlaku sekarang? Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini selain kos sara hidup yang semakin meningkat, tidak mustahil masih terdapat lepasan SPM yang senasib dengan keluarga lelaki tua ini.

Jika kita tahu terdapat kes-kes seperti ini di kejiranan kita, buatlah sesuatu untuk membantu mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN